Ads Top

7 Tanda Hati Yang Sihat

Boleh anda bayangkan keadaan orang yang ditimpa sakit dan orang yang sihat. Pasti jauh bezanya. Orang yang ditimpa sakit akan nampak tidak bermaya, tidak bertenaga untuk melakukan banyak perkara. Manakala orang yang sihat pula nampak cergas dan mampu bergerak ke sana ke mari tanpa sebarang masalah.

Namun bagaimana pula dengan hati kita? Yang saya maksudkan bukanlah hati fizikal yang kalau dibedah mampu dilihat, tetapi hati nurani yang tidak nampak dek mata kasar, yang dalam bahasa Arabnya disebut sebagai qalbu. Memang disebutkan di dalam Al-Quran bahawa hati ini mampu menjadi sihat dan mampu jadi sakit. Berikut 7 tanda bahawa hati kita dalam keadaan sihat.

#1- Rasa Ringan Untuk Melakukan Kebaikan

Orang yang hatinya hidup akan mudah melakukan kebajikan dan kebaikan kepada makhlukNya yang lain. Dia tidak sombong dan memikirkan diri sendiri sahaja.

#2- Terkesan Mendengar Alunan Ayat Al-Quran Atau Apabila Membacanya

Hatinya juga akan cepat tersentuh tatkala mendengar alunan ayat Al-Quran atau ketika membacanya. Mengapa tidak, bukankah ayat-ayat itu adalah ucapan Allah sendiri?

#3- Kembali Bermuhasabah Diri Apabila Menerima Ujian

Tidak ada orang yang akan terlepas daripada kesusahan dan ujian. Tetapi bezanya dengan orang yang memiliki hati yang sihat adalah dia bermuhasabah kembali tentang apa yang telah terjadi. Mungkin ada kesilapan yang telah dilakukan, dan ada sesuatu yang boleh dipelajari.

#4- Rasa Takut Dengan Ancaman Allah SWT

Orang yang memiliki hati yang hidup akan sentiasa beringat dengan ancaman Allah. Dia tidak melakukan sewenang-wenangnya apa yang dilarang oleh Allah kerana takut dengan azab dan ancaman yang pasti menimpa orang yang berbuat maksiat dan kezaliman.

#5- Tidak Terlalu Tertarik Dengan Dunia

Dunia penuh dengan hal-hal yang akan membuatkan hati tertarik tidak kira orang, harta, anak-anak, kemasyhuran malah boleh jadi apa sahaja. Fitrah manusia sering tertarik kepada perkara-perkara tersebut, namun tidak sehingga melalaikannya daripada mengutamakan hal-hal yang bermanfaat untuk akhirat.

#6- Menjauhkan Diri Daripada Dosa Dan Kesalahan

Dalam sebuah hadis disebut bahawa seorang mukmin yang bijak adalah mereka yang tidak termasuk ke dalam lubang yang sama dua kali. Dalam hal ini, dia bukan sempurna daripada dosa tetapi akan berjaga-jaga daripada melakukan dosa dan kesalahan yang sama berulang kali.

#7- Mengikut Anjuran Allah Dan RasulNya Berbanding Hawa Nafsu Sendiri

Nafsu sentiasa mahukan hal-hal yang buruk buat diri seseorang. Yang dilarang itulah yang dimahukan. Yang tidak elok itulah yang dicari. Justeru orang yang hatinya sihat mampu melawan kehendak nafsu dan mengikut perintah Allah dan pesanan rasul.

Kesimpulan

Iman ada naik dan turunnya. Hati yang tidak sihat boleh dipulihkan semula dengan taubat dan melakukan amal soleh. Namun jangan sampai hati benar-benar mati sehingga tidak mahu lagi menerima kebenaran, tidak mahu patuh dan tidak kisah jika Allah murka. Semoga kita dijauhkan daripada hati sebegini.

“(Yang demikian) kerana Allah hendak menjadikan hasutan Syaitan itu sebagai satu fitnah cubaan bagi orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka, dan yang hatinya keras membatu…” (Surah Al-Hajj 22:53)

The post 7 Tanda Hati Yang Sihat first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.