5 Pelajaran Berguna Daripada Sang Lebah
Lebah antara serangga kecil yang dirakamkan dalam Al-Qur’an melalui Surah An-Nahl ( سورة النحل ). Malah, Surah Makiyyah ini justeru memakai nama lebah secara khususnya. Lebah amat sinonim dengan pekerjaan mencari bunga, tumbuhan hijau dan menghasilkan madu untuk menjadi makanan dan penawar bagi manusia. Allah ta’ala menganugerahkan banyak kelebihan besar terhadap lebah walaupun ia hanya bersaiz kecil sebagaimana pada haiwan dan binatang-binatang lain.
Ciptaan Allah Yang Maha hebat ini hanya gemar singgah pada tempat yang bersih, dan kelopak bunga yang berwarna-warni. Lebah tidak mencederakan rakan serumahnya malah memberi manfaat pada koloninya, sekaligus kepada manusia di dunia.
Lebah juga tidak menyerang melainkan dia diserang untuk mempertahankan dirinya dari tercedera. Sesungguhnya terdapat keajaiban dan hikmah penciptaan lebah di dalam kitab suci Al-Qur’an.
Allah Ta’ala berfirman :
ثُمَّ كُلِي مِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ فَاسْلُكِي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلاً يَخْرُجُ مِن بُطُونِهَا شَرَابٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاء لِلنَّاسِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَةً لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ .
“Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.” (Surah An-Nahl 16:69)
Ayat ini menjelaskan akan khasiat madu mampu merawat berbagai-bagai jenis penyakit atas kuasa dan izinNya. Kajian daripada pelbagai unit giat dijalankan di seantero dunia meyakini bahawa madu mempunyai kepentingan dalam menyekat pembiakan bakteria. Dr. Danial Zainal Abidin memetik satu kajian berkenaan madu dalam bukunya :
“Mengikut Dr. Peter Molan, seorang pakar biokimia dari Unit Kajian Madu Lebah di Univerisiti Waikato, New Zealand, antara kelebihan madu adalah pHnya berada dalam tahap yang menghalang pembiakan bakteria. Apabila ia dicairkan, salah satu enzim yang terdapat di dalamnya merangsang pengeluaran bahan antibakteria yang dikenali sebagai hydrogen peroxide. Kuasa antibakteria yang terdapat dalam madu lebah membolehkannya membunuh sejenis kuman yang merbahaya.” (Dinukil dalam Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, hal. 75. PTS Millennia SDN.BHD, cetakan pertama 2015. Dr. Danial Zainal Abidin)
Tidak dinafikan lagi bahawa ilmuan silam juga mengakui akan kebaikannya. Imam Ibnu Katsir berkata dalam tafsirnya :
“Di dalam madu itu terdapat ubat penyembuh bagi manusia.” (Tafsir Al-Qur’an Al-Azhim, hal. 79)
Madu antara makanan yang membolehkan manusia memperolehi kesembuhan secara alami atas izin dan kuasaNya serta banyak dikomersialkan di pasaran untuk menjana pendapatan. Justeru itu, terdapat 5 pengajaran yang boleh dipelajari daripada lebah :
1- Taat pada perintah Allah.
Allah menurunkan wahyu kepada lebah agar membina sarang terlebih dahulu kemudian menghasilkan makanan. Ini menunjukkan bahawa betapa taat lebah melaksanakan perintah Allah subhanahu wa ta’ala.
2- Rajin mencari rezeki.
Lebah memerlukan banyak tenaga menyedut kuntuman bunga untuk mengeluarkan madu yang banyak. Lebah antara makhluk paling rajin selain semut. Walaupun bertubuh kecil tetapi tetap rajin berusaha.
3- Bergotong royong menubuhkan sarang.
Rumah lebah berbentuk heksagon terbina hasil kerjasama pasukan lebah dan ia tidak mampu terjadi tanpa kumpulan. Pentingnya muafakat dalam menjalankan tugas.
4- Tinggal di tempat yang bersih dan memberi sumber yang bersih.
Lebah hanya menyukai keindahan bunga-bungaan dan tidak menelan benda-benda yang kotor. Ini kerana lebah perlu menghasilkan madu berkualiti serta sihat bagi manusia.
5- Mempunyai ratu lebah (Queen Bee).
Kesemua lebah mematuhi arahan ratu lebah dalam setiap pekerjaan yang bakal dilaksanakan. Setiap pasukan pastilah dipandu oleh seorang ketua.
Ibnul Qayyim al-Jauziyyah mengatakan :
“Ratu lebah itu mengatur mereka seperti layaknya seorang raja yang mengatur rakyatnya. Saat lebah-lebah itu kembali ke rumah, dia berdiri di pintu, tidak membiarkan seekor pun mendesak yang lain atau mendahuluinya masuk.” [(Kunci Kebahagiaan (Miftah Darus Sa’adah), hal. 428)]
Allah menciptakan manusia lebih besar dan tinggi fizikalnya serta berakal jika dibandingkan dengan seekor lebah. Pun begitu dari segi akhlak, kebanyakan manusia kalah oleh seekor lebah. Merekalah kelompok makhluk yang tidak pernah melanggar perintah Allah.
Lebah memiliki contoh teladan yang sangat baik untuk diikuti dalam memperbaiki sifat-sifat mazmumah yang ada. Lebah menyerap bahan yang baik dan mengeluarkan sesuatu yang baik sahaja. Jauh sekali seperti lalat hinggap pada longgokan sampah sarap dan membawa penyakit kepada alam.
Seperti itu juga bagi seorang manusia belajar daripada sifat lebah yang hanya mengambil sesuatu yang baik dan halal. Kemudian memberi maslahat kebaikan kepada orang disekitarnya dengan cara menjadi mukmin yang dikasihi dan disenangi oleh masyarakat. Keberkatan dalam satu pekerjaan juga datang kerana mendengar arahan ketua yang mentadbir. Pemimpin yang baik melahirkan rakyat yang baik sebagaimana ratu lebah yang bijak mengatur pengikut-pengikutnya.
Ajaran islam menyukai kebersihan dan membenci kekotoran baik pada jasad ataupun jiwa. Orang-orang beriman wajib mencontohi semangat juang pasukan lebah yang membantu antara satu sama lain dalam apa jua keadaan.
Lebah mendidik kita berdisiplin, menjernikan hati, hamba yang taat dan segera patuh pada perintah Allah, sedia berkorban, berkerja keras dalam mendapatkan sesuatu yang dihajat, tidak malas dan tidak mudah berputus asa menghulurkan manfaat melalui madunya.
Jadilah seperti lebah yang mengejar keindahan dan menyebarluaskan kebaikan. Jangan jadi seperti lalat memburu kekotoran dan suka pula merosakkan. Pelajarilah dari sikap sang lebah yang amat luar biasa peribadinya.
Rujukan:
- Kunci Kebahagiaan (Miftah Darus Sa’adah), hal. 428, Akbar Media, cetakan pertama Julai 2004. Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah.
- Tafsir Al-Qur’an Al-Azhim, hal. 79, Jilid 5. Pustaka Imam Asy-Syafi’i, cetakan pertama, Mei 2003. Tahqiq : Dr. Abdullah bin Muhammad bin Abdurrahman bin Ishaq Al-Sheikh.
- Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, hal. 75. PTS Millennia SDN.BHD, cetakan pertama 2015. Dr. Danial Zainal Abidin.
The post 5 Pelajaran Berguna Daripada Sang Lebah first appeared on Tazkirah.
No comments: