3 Jenis Percakapan Yang Dibenarkan Semasa Khutbah Jumaat
Hari Jumaat tiba lagi. Kita masih berada dalam suasana Covid-19 di mana masjid-masjid masih lagi dibuka kepada bilangan yang terhad serta perlu mengikut penjarakan sosial. Jemaah yang ingin Solat Jumaat di masjid pula perlu mendaftarkan diri untuk mendirikan Solat Jumaat.
Bagi mereka yang sudah diberi ruang dan peluang yang tidak semua dapat rasakan ini, manfaatkanlah waktu di masjid dengan sebaiknya. Bagi mereka yang tidak berpeluang lagi, maka teruskanlah mencuba.
Apabila berbicara tentang Solat Jumaat, kita sentiasa diingatkan supaya menjaga adab dan tidak bercakap ketika khutbah. Bahkan untuk menegur orang lain dan menyuruhnya diam sekalipun, perbuatan ini dianggap sia-sia malah fadilat Jumaat tidak diperoleh.
Seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ
Maksudnya: Apabila kamu mengucapkan; ‘’Diamlah kamu’’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat dalam keadaan Imam sedang berkhutbah, maka kamu telah lagha. (Riwayat Al-Bukhari, no.934)
Namun, ada tiga jenis percakapan yang masih dibenarkan ketika khutbah.
Pertama, ialah mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW apabila mendengar nama baginda disebutkan. Bahkan orang yang tidak berselawat saat mendengar nama baginda dikira sebagai kedekut.
Kedua, mengucapkan amin apabila mendengar khatib membacakan doa. Ia dibenarkan dan tidak termasuk hal yang lagha.
Ketiga, mengucapkan Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) selepas bersin atau mengucapkan Yarhamukallah (semoga Allah memberikan rahmat kepadamu) kepada orang lain yang bersin.
Daripada hal ini, kita mengetahui bahawa tidak semua percakapan itu ditegah semasa khutbah disampaikan. Kita masih boleh mengucapkan selawat apabila mendengar nama baginda disebut, mengucapkan amin ketika khatib berdoa dan mengucapkan Alhamdulillah ketika bersin.
Walau bagaimanapun, jika tidak ada keperluan seperti yang disebutkan itu, maka diam adalah lebih baik berbanding menyibukkan diri dengan zikir, membaca Al-Quran atau berdoa dengan kuat semasa khutbah disampaikan. Wallahua’lam.
Rujukan:
No comments: