Ads Top

Yang Dimaksudkan Dengan Rumah Yang Sepi Seperti Kubur

Rumah itu adalah kediaman kita dan tempat untuk berlindung, sama ada dari panas dan hujan, dari haiwan dan musuh serta daripada anasir-anasir jahat.

Situasi rumah itu, sama ada ia kecil atau besar adalah tidak dikira. Namun, yang pentingnya ialah nilai yang terdapat pada rumah itu sendiri. Nilai kasih sayang dan juga apa yang diterapkan di dalamnya.

Sebagai umat Islam sendiri, kita juga perlu melindungi rumah dan seisinya bukan sahaja dengan perkara yang boleh memberi keselesaan kepada fizikal tetapi juga rohani.

Rumah perlu diisi dengan perkara-perkara yang bukan sahaja melindungi kita daripada perkara yang boleh dilihat tetapi juga yang tidak boleh dilihat.

Sebab itu, rumah tidak boleh kosong tanpa alunan ayat Al-Quran mahupun ibadah-ibadah lain kepadaNya. Jika tidak, ia diibaratkan sebagai kubur. Sebagaimana dalam beberapa hadis yang disebut;

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

Maksud: “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah di dalamnya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 780)

Melalui hadis ini, kita dapat melihat akan anjuran membaca surah Al-Baqarah bagi tujuan melindungi diri dan kediaman daripada gangguan syaitan.

Perkara kedua yang dapat difahami di sini adalah rumah yang kosong tanpa pengisian yang diajarkan Islam ini adalah diibaratkan seperti kubur.

Apa yang dimaksudkan dengan kubur di sini? Apabila kita melihat kubur, ia adalah sebuah lubang yang sempit, gelap dan sunyi. Sangat menyeramkan apabila membayangkannya padahal itulah rumah akhir kita nanti.

Begitulah perumpamaannya dengan rumah yang tidak dihiasi dengan mengingati Allah. Ia adalah kosong, sunyi dan gelap daripada sinaran dan rahmat Allah.

Syeikh Muhammad bin Sholeh Al-‘Utsaimin berkata – “Ia membawa maksud kepada jangan meninggalkan solat di rumah. Rumah yang tiada solat di dalamnya adalah disebut sebagai kuburan. Kerana kita melihat bahawa solat tidak dilakukan di kuburan.”

Kesimpulan

Justeru, untuk mengelakkan tempat tinggal anda gelap dan sunyi yang boleh dianggap sebagai kubur, maka hiasilah ia dengan mengingati Allah.

Caranya mudah sahaja, iaitu dengan tidak meninggalkan solat, melazimi zikir dan memperbanyakkan ibadat sunat yang lain.

Rujukan:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.