The Truth Teruskan Legasi Dakwah, Sebarkan Kebaikan Dalam Lagu
Walaupun industri seni nasyid dilihat sedikit suram tanpa generasi pelapis terbaharu, namun duo anak muda, The Truth yang dianggotai Naufal Isa, 23, dan Irwan Fariz, 22, berani bangkit untuk meneruskan dakwah menerusi lagu-lagu yang membawa mesej kebaikan dan positif.
Kedua-duanya yang mula aktif menyanyi ketika menuntut di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, Perak berharap penampilan mereka dapat diterima ramai serta ingin dikenali sebagai penyanyi nasyid yang versatil.
“Kami ingin mencipta arus baharu dalam nyanyian nasyid dan dalam masa yang sama berkongsi dakwah serta nilai-nilai positif dalam lagu kami.
“Kalau diikutkan, kebanyakan lagu ‘cover’ kami mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. Sebagai contoh, lagu-lagu hits antarabangsa yang kami nyanyikan semula seperti lagu BTS, Boy With Luv diubah ke bahasa Melayu yang mengandungi lirik-lirik yang membawa kebaikan kepada masyarakat,” kata Naufal ketika ditemui KopiPlanet.com pada majlis pelancaran single pertama The Truth berjudul Cinta Sementara yang berlangsung di Shah Alam, baru-baru ini.
Sejak Cinta Sementara dilancarkan pada 3 Julai lalu, lagu tersebut telah berjaya meraih hampir 500,000 jumlah tontonan di laman Youtube.
Lagu ciptaan Aniq Muhai itu berkisarkan mengenai manusia yang mengejar cinta dunia dan cinta manusia, sehinggakan lupa bahawa hanya cinta kepada Allah adalah cinta yang hakiki dan kekal selamanya.
Bernaung di bawah label rakaman Tarbiah Sentap Records, The Truth dipelawa sendiri oleh pemilik syarikat produksi tersebut yang juga merupakan penulis novel motivasi terkenal, Ahmad Adnin Roslan, 28, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Adnin Roslan untuk melebarkan lagi bakat mereka ke pasaran yang lebih meluas.
“Saya sebenarnya lebih gemar mempelawa dan memilih sendiri penyanyi untuk bernaung di bawah Tarbiah Sentap Records. Yang paling penting adalah akhlak seseorang individu yang saya nak pelawa itu. Saya tak nak di kemudian hari kerana kalau ada yang bermasalah, ia akan memberi imej yang tidak baik kepada label Tarbiah Sentap itu sendiri.
“Untuk permulaan, Tarbiah Sentap mengetengahkan The Truth ke hadapan dalam perjuangan menyebarkan lagu-lagu yang membawa maksud positif dan kebaikan. Diharapkan ia dapat diterima baik oleh semua pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat, insyaAllah,” kata Ustaz Adnin.
Selain lagu BTS, antara lagu hits antarabangsa yang turut pernah dialih bahasa oleh duo ini ialah Without Me nyanyian Halsey dan Way Back Home dendangan Shaun yang pantas meraih perhatian daripada peminat mereka. – KopiPlanet.com
The post The Truth Teruskan Legasi Dakwah, Sebarkan Kebaikan Dalam Lagu appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: