Ads Top

Survival Filem Tempatan Dan Penerapan Patriotisme Ekosistem

Oleh: Onn Norshal Hamzah
(Kolumnis KopiPlanet.com)

Sejak penglibatan saya dalam industri sejak 20 tahun yang lalu, antara cabaran yang belum sepenuhnya dapat diatasi dan masih lagi dalam lingkaran persoalan hari ini ialah penerapan patriotisme ekosistem perfileman terutama dalam memastikan filem tempatan kita berjaya dalam pasaran.

Sejak dari dulu lagi kerap kedengaran rintihan dari pengusaha filem yang mendakwa filem mereka sentiasa di anak tirikan berbanding filem luar hingga mengakibatkan kutipan filem mereka menjunam teruk hingga ke paras yang menyedihkan.

Malah, kalau mengikut catatan kutipan dalam Skim Wajib Tayang (SWT) FINAS sejak skim itu diperkenalkan, terdapat sesetengah filem yang mengutip hanya RM5,000 untuk beberapa hari tayangan.

Persoalannya… apakah benar wujud isu semangat patriotisme dalam ekosistem industri yang menyebabkan perkara ini terjadi?

Secara peribadi saya berpandangan bahawa kejayaan sesuatu filem itu di pawagam sangat bergantung kepada ‘kekuatan’ filem itu sendiri. Namun, kekuatan filem itu perlu mendapat sokongan dari faktor luar lain bagi memastikan ‘tenaga’ yang ada dalam filem tersebut berjaya dizahirkan dengan kejayaan dalam pasaran.

Yang kedua pula adalah faktor ini amat memainkan peranan agar untuk mencapai hasrat yang dihajatkan. Faktor luar yang melibatkan pemasaran, promosi, cinema programming, trailer, penyusunan pawagam dan lain-lain yang sering dipertikaikan bila sesuatu filem itu gagal di pasaran.

Bagaimanapun, pada hakikatnya budaya menyerang ekosistem atau sikap pra-sangka ini harus dijauhkan jika ingin menempah kejayaan dalam pasaran perfilan.

Untuk menghurai secara lanjut, saya tidak akan menyentuh soal kekuatan filem yang menjurus kepada kandungan, cara pembikinan, pemilihan pelakon dan skrip kerana seperti yang saya selalu sebut bahawa ilmu filem adalah ilmu kreatif yang subjektif.

Sebenarnya, apa yang perlu ditekan di sini ialah gabungan profesionalisme dan patriotisme industri bagi membantu filem tempatan kita berjaya dalam pasaran. Ini bukan sekadar tanggungjawab pengedar atau pawagam dalam menjalankan amanahnya, tetapi juga masyarakat dalam industri.

> Baca: Cetak Rompak Digital, Isu Yang Perlu Segera Dibawa Ke Parlimen

Norma kebiasaan sebelum ini yang melanda produk kita adalah tahap kesedaran yang lemah tentang tayangan sesebuah filem ditayangkan di pawagam.

Mengambil contoh ketika ini, masyarakat tahu bila filem-filem luar seperti Tenet, Mulan, James Bond: No Time To Die, Fast & Furious dan lain-lain akan ditayangkan, tetapi apakah masyarakat tahu bila filem-filem hebat kita seperti Takut Ke Tak, Pochandi, Mimaland, Mencari Rahmat dan lain-lain akan keluar ke pawagam?

Jawapannya tidak! Ini peranan kita sebagai ahli industri untuk pastikan karya-karya berjaya di pasaran dengan membantu membuat hebaan. Ini hanya langkah asas.

Manakala bagi pihak pawagam pula, inilah masanya setelah berdepan dengan cabaran tayangan pada tahun 2020 ini untuk kita memberikan seluasnya peluang penayangan filem tempatan berpandukan kepada kemahiran dan kebijaksanaan pengurusan yang ada.

Untuk agensi kerajaan seperti FINAS, tatkala penumpuan diberikan kepada aspek kebajikan industri, penumpuan dan sokongan juga perlu kepada usaha pemberian dana pemasaran filem bagi semua yang layak di bawah Skim Wajib Tayang tanpa birokrasi dan prosedur yang merimaskan.

FINAS lebih arif dalam hal ini. Hakikatnya, industri hanya akan menempah kejayaan jika kita dalam satu pasukan. – KopiPlanet.com

The post Survival Filem Tempatan Dan Penerapan Patriotisme Ekosistem appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.