Ads Top

Status Hadis – Sahabat Nabi Seperti Bintang

Yang dimaksudkan dengan sahabat Rasulullah adalah mereka yang hidup pada zaman Baginda SAW dalam keadaan Islam dan meninggal juga dalam keadaan beriman.

Antara sahabat Nabi SAW yang terkenal dan sering menjadi ikutan kita juga pada hari ini adalah Saidina Abu Bakar RA, Umar Al-Khattab, Uthman dan ramai lagi.

Semua itu adalah nama yang sangat popular dan ada juga yang sehingga termasuk dalam senarai antara 10 orang yang diganjari syurga.

Betapa hebatnya para sahabat sehingga ada beberapa hadis yang diriwayatkan dengan menceritakan kedudukan mereka di sisi Rasulullah dan juga Allah SWT.

Daripada Abu Said Al-Khudri RA, Nabi SAW bersabda:

Maksud: “Janganlah kamu menghina sahabatku, sekiranya salah seorang daripada kamu menginfakkan emas sebesar Bukit Uhud, tidak akan menyamai satu cupak (pahala) seorang pun daripada mereka dan tidak juga separuh daripadanya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 3673)

Hal ini adalah disebabkan oleh sumbangan mereka kepada Islam yang besar dan banyak. Mereka adalah antara manusia yang sentiasa ada di sisi Baginda tatkala zaman Islam yang baru membangun.

Mereka juga ialah manusia yang sanggup berkorban apa sahaja demi menegakkan panji Islam ketika itu.

Contohnya, kita melihat kisah Abu Bakar yang merupakan orang terawal yang memeluk Islam. Beliau mempercayai kisah Baginda di saat semua orang merasakan bahawa agama yang dibawanya adalah dusta.

Abu Bakar juga ialah orang yang sanggup mengikut Nabi SAW berhijrah ke Madinah dan menemaninya di dalam gua. Semuanya adalah disebabkan iman dan kepercayaan yang tinggi yang menapak dalam hatinya.

Begitu juga dengan sahabat yang lain. Mereka ialah orang yang mengikuti jejak langkah Baginda dan merupakan antara generasi terbaik.

Sehinggakan ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Baihaqi melalui kitabnya, iaitu sahabat nabi adalah diibaratkan seperti bintang.

Maksud: “Sesungguhnya para sahabatku sama kedudukannya seperti bintang-bintang di langit. Dengan sesiapa sahaja kamu ambil, nescaya kamu akan memperoleh petunjuk dan perselisihan para sahabat adalah satu kerahmatan buat kamu.”

Walau bagaimanapun, menurut jumhur ulama, hadis ini dinilai sebagai daif (lemah) kerana wujud jalur yang lemah.

Imam Ibn Hazm berkata bahawa hadis ini adalah bathil. Manakala, menurut Imam Ibn Abd al-Bar, hadis ini adalah tidak sahih. Imam Ibn Qayyim dan Imam Al-Syaukani pula berpendapat bahawa jalur periwayatannya adalah tidak thabit (tidak kukuh).

Kesimpulan

Justeru, dapat difahami bahawa hadis ini adalah tidak sahih dan tidak boleh digunakan sebagai hujah atau untuk menyebarkannya.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.