Sedang ‘Job Hunting?’ Jangan Lupa Untuk Berdoa
Rata-rata sekarang ramai yang sedang bersaing untuk mendapatkan pekerjaan. Tidak kiralah sama ada yang baru sahaja bergraduasi atau sudah lama menganggur, pasti semua orang sedang melalui saat-saat ini.
Kadang-kadang apabila sudah menganggur terlalu lama, pasti terbit rasa cemburu melihatkan kawan-kawan yang sudah mendapat kerja atau tidak perlu menunggu lama pun untuk mendapatkan pekerjaan itu.
Namun, lain orang pasti lain ujian dan cabarannya. Allah ingin memberi anda peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.
Dalam masa kita mencari pekerjaan, banyak perkara yang boleh kita belajar terutamanya mengenai kesabaran dan juga keperitan hidup.
Sewaktu zaman belajar, apa yang selalunya menjadi masalah utama adalah dari sudut kewangan. Dari situ kita belajar untuk menghadapi masalah itu dengan baik.
Ada yang cuba mencari kerja separuh masa sama ada berniaga secara atas talian atau di mana-mana kedai atau servis penghantaran makanan. Ada juga yang menggunakan bakat atau kemahiran yang ada bagi mendapatkan wang dan pelbagai lagi ragam.
Pengalaman-pengalaman inilah yang kemudiannya mematangkan kita dan menjadikan kita faham erti kesukaran.
Sekarang, anda sedang melangkah ke alam dewasa. Perkara yang perlu ditempuhi adalah dengan bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Namun, bukan mudah untuk mendapatkan pekerjaan. Setiap orang pasti ada ujiannya yang tersendiri. Ada yang kena menunggu sehingga berbulan lamanya dan ada juga yang memakan masa setahun dua dengan terpaksa bekerja sambilan dahulu.
Namun, inilah asam garam kehidupan. Allah ingin mengingatkan kita bahawa tiada perkara yang mudah diperoleh. Setiapnya pasti ada perkara yang perlu dilalui dan perkara itu berbeza bagi setiap orang.
Jadi, buat anda yang masih lagi diuji dengan pekerjaan yang masih belum kunjung tiba, teruskan berusaha dan dalam masa yang sama jangan lupa untuk berdoa.
Doalah kepada Allah dan mintalah kepadaNya kerana Allah Maha Pemberi Rezeki. Setiap kekuasaan di muka bumi ini adalah bergantung kepadaNya.
Ada sebuah doa yang diajar oleh ulama untuk meminta agar dipermudahkan urusan dalam pencarian kerja.
Walaupun doa ini tidak ditemui dalam mana-mana riwayat hadis, namun sebahagian ulama berpendapat bahawa ia adalah permohonan yang boleh dibaca. Doanya ialah;
اللهم اغفرلي ذنبي ووسع خلقي وطيب كسبي وقنعني بما رزقتني ولا تذهب قلبي إلى شيئ صرفته عني
Maksud: “Ya Allah, ampunilah dosaku, perluaslah (muliakanlah) akhlakku, berilah untukku pekerjaan yang baik, jadikanlah aku puas menerima apa pun yang Engkau kurniakan kepadaku dan janganlah Engkau buat hatiku mengingat apa pun yang telah Engkau palingkan dariku.” (At-Tabrani, 7/73)
Justeru, sambil-sambil berusaha mencari pekerjaan, jangan dilupa untuk berdoa. Amalkanlah doa dan perkara-perkara yang boleh menarik rezeki agar ia mudah melekat kepada anda.
Wallahu a’alam.
No comments: