Ads Top

Perniagaan Rugi – Adakah Masih Perlu Keluarkan Zakat

Jika kita ingin menolong orang bukan Islam yang kesusahan untuk kekal ‘survive’ dan tidak tempat bergantung, tetapi kita juga tidak dapat membantu banyak, maka pada masa inilah zakat berfungsi.

Kerana itulah setiap umat Islam wajib mengeluarkan zakat apabila menepati syarat dan waktunya. Zakat yang wajib dikeluarkan bukanlah zakat fitrah menjelang hari raya sahaja namun termasuk juga zakat simpanan, zakat pendapatan, zakat pelaburan dan lain-lain.

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana pula jika perniagaanya mengalami kerugian, adakah dia masih perlu mengeluarkan zakat?

Sebelum pergi lebih jauh, seharusnya kita fahami dahulu bahawa kewajipan zakat perniagaan disandarkan kepada nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah. Contohnya firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ

Maksudnya“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” (Surah al-Baqarah: 267)

Ia bermaksud zakat daripada hasil perniagaan yang dilakukan.

Ia perlu ditunaikan sekiranya telah memenuhi syarat-syarat zakat perniagaan dan telah mencukupi tempoh haul (tempoh setahun) dan nisab (nilai harta) yang mewajibkan zakat.

Manakala, kerugian serta kejatuhan dalam suatu perniagaan bukanlah penyebab atau alasan untuk meninggalkan kewajipan berzakat.

Daripada segi fizikalnya, mungkin kita akan merasakan bahawa harta kita berkurang, namun bagi umat Islam yang yakin dengan konsep rezeki dan percaya bahawa rezeki itu diatur oleh Tuhan, maka tidak perlu ada kerisauan lain.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ

Maksudnya“Zakat itu tidak mengurangkan harta.” (Riwayat Muslim, no.2588)

Imam Nawawi ketika menjelaskan hadis di atas, memberikan dua penafsiran. Pertama, harta yang dizakatkan akan diberkati dan dihilangkan kemudaratan daripadanya. Kesannya boleh dirasai oleh pancaindera dan kebiasaan.

Kedua, sekalipun fizikal harta itu berkurang, namun kekurangan tersebut akan digantikan dengan pahala di sisi Allah SWT serta digandakan dengan gandaan yang banyak. (Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/141)

Jatuh bangun adalah asam garam dalam dunia pernigaan. Tidak dinafikan, ia menyakitkan dan kadang-kadang membuatkan kita jatuh terduduk, namun tanggungjawab sebagai seorang Muslim tetap tidak boleh diabaikan. Saat inilah ketaatan dan tawakal kita teruji, adakah akan tetap menunaikan kewajipan zakat perniagaan atau tidak.

Rujukan:

  1. Mufti Wilayah Persekutuan



No comments:

Powered by Blogger.