Penyeksaan Haiwan – Adakah Mereka Akan Menuntutnya Di Akhirat
Berita mengenai penyeksaan haiwan sentiasa ada, sama ada ia tular atau tidak, saban hari kita akan mendengar kisah-kisah kekejaman terhadap haiwan.
Yang paling kerap didengar menjadi mangsa adalah kucing. Ada yang diseksa di dalam mesin basuh sehingga mati, ada yang disiat-siat kulitnya secara hidup-hidup, ada yang dibakar, dikurung tanpa diberi makan dan minum sehingga mati dan banyak lagi cara seksaan terhadap mereka.
Apabila tularnya kisah-kisah ini di media sosial, pasti ramai yang bersetuju bahawa ia adalah sebuah kesalahan yang wajar diberi tindakan. Ia adalah salah satu bentuk penyeksaan terhadap haiwan. Jadi, sebarang bentuk penyeksaan yang dilakukan perlulah diberi balasan.
Pada tahun 2015, Akta Kebajikan haiwan 2015 telah diluluskan oleh Parlimen dan ia dikuatkuasa pada 18 Julai 2017 di mana telah menimbulkan keprihatinan dan perkembangan positif kepada kebajikan haiwan di Malaysia.
Melalui akta ini, pelbagai kesalahan yang dilakukan terhadap haiwan boleh dikenakan hukuman, iaitu denda antara RM20 000 dan RM100 000 atau penjara selama 3 tahun.
Ia dilihat sebagai hukuman dan peraturan yang lebih baik berbanding dengan sebelum ini yang hanya mengenakan denda sebanyak RM200 sahaja kepada pesalah.
Nilai itu adalah tidak setimpal dengan perbuatan yang telah dilakukan. Disebabkan itu undang-undang yang ada telah dikuatkuasakan bagi membendung masalah ini.
Mengapa Ia Berlaku
Walau bagaimanapun, masalah ini dilihat makin memburuk apabila masih ada yang melaporkan kekejaman yang berlaku. Malah, penyeksaan itu dilihat semakin kejam dengan cara yang terlampau ngeri yang tidak dapat dibayangkan oleh akal manusia.
Mengapa ada manusia yang tergamak melakukan perkara tersebut? Apa yang dirasai di sebalik penyeksaan itu? Adakah mereka tidak dapat membayangkan kesakitan yang dialami itu?
Kalau kita lihat, orang yang terlibat dalam penyeksaan ini rata-ratanya merasa gembira seolah-olah ia merupakan sebuah kepuasan yang dapat dicapai.
Sedangkan, apabila dilihat kepada alasannya, ada yang menyifatkan bahawa tindakan itu adalah kerana rasa tidak berpuas hati terhadap haiwan tersebut yang mengganggu kawasan rumahnya atau ada disebabkan kucing yang suka membuang najis merata-rata atau tidak suka melihat kucing yang berkeliaran dan sebagainya.
Jadi, dalam hal ini, walau apa pun alasan yang dilakukannya, ia adalah kesalahan yang tidak boleh dipandang sebelah mata.
Bentuk kemanusiaan perlu wujud bukan sahaja kepada manusia tetapi juga terhadap haiwan. Dalam beberapa hadis yang disebutkan, haiwan yang diseksa sehingga mati ini boleh menuntut kembali di akhirat.
مَنْ قَتَلَ عُصْفُورًا عَبَثًا عَجَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ يَا رَبِّ إِنَّ فُلاَنًا قَتَلَنِي عَبَثًا وَلَمْ يَقْتُلْنِي لِمَنْفَعَةٍ
Maksud: “Barangsiapa yang membunuh burung kecil tanpa sebab, ia akan mengadu kepada Allah pada hari kiamat dan berkata: “Wahai tuhan, sesungguhnya si fulan telah membunuhku dengan sia-sia tanpa sebab dan tidak membunuhku dengan sebarang manfaat.” (Hadis Riwayat Nasai, no. 4446)
Kesimpulan
Sebagaimana manusia yang akan menuntut kembali keadilan di akhirat kelak terhadap kezaliman yang dilakukan, begitu juga dengan haiwan.
Jika perbuatan itu terlepas di dunia, ketahuilah bahawa ia akan dihisab di akhirat kelak kerana neraca di sana adalah paling adil dan tiada kompromi.
Jadi, berlaku ihsanlah terhadap alam ini, sama ada haiwan, manusia mahupun tumbuhan kerana berbuat baik kepada mereka juga boleh memberikan ganjaran pahala kepada anda.
Wallahu a’alam.
Sumber:
Mufti Wilayah
No comments: