Ads Top

Pada Hati Itu Juga Ada Rezeki

Kita melihat rezeki itu ada pelbagai cabang. Ada orang memperoleh rezeki dengan mendapat wang yang banyak. Setiap bulan, duitnya tidak putus. Senang sahaja masuk.

Ada sesetengah orang pula tidaklah dikurniakan wang yang berkepuk-kepuk, namun cukup pada makan dan pakainya. Ia masih mempunyai makanan yang cukup setiap hari dan pakaian yang elok untuk menutup aurat.

Ada orang pula yang tidaklah mempunyai rumah yang besar atau wang yang banyak, tapi pada dirinya masih lagi ada kesihatan dan keluarga yang penyayang.

Semua ini dan banyak lagi adalah rezeki yang telah Allah kurniakan kepada seseorang. Lain orang pasti lain rezekinya. Dan yang perlu diingat ialah, kita tidak boleh memperoleh rezeki orang lain. Dan orang lain pun tidak akan memperoleh rezeki kita.

Setiap orang pasti ada rezekinya masing-masing. Jangan cemburu dengan rezeki orang lain kerana kita tidak tahu apa usaha yang telah dilakukannya sehingga melayakkannya untuk memperoleh perkara itu dan kita juga tidak tahu jika Allah sedang menyediakan yang lebih baik lagi.

Ubaidullah bin Muhammad bin Yazid berkata – “Aku telah mendengar ayahku menyebut bahawa mereka telah mengunjungi Abu Hazim lalu berkata: “Wahai Abu Hazim, tidakkah kamu melihat harga barang sekarang ini mahal?” Lalu, dia menjawab: “Apakah yang merungsingkan kamu demikian itu?” Sesungguhnya Dia yang memberi rezeki pada kita pada masa barang murah dan Dia lah yang memberi rezeki pada kita pada masa barang mahal.” (Hilyah al-Auliya’, 3/239)

Rezeki Pada Hati

Dalam kita menyebut soal rezeki, kadang-kadang kita hanya menghitung apa yang kita nampak. Contohnya yang berbentuk harta benda, makanan dan pakaian.

Namun, kita lupa bahawa rezeki juga adalah pada hati. Bila hati kita merasa bahagia dengan sesuatu, itu juga adalah rezeki. Ketenangan dan kebahagiaan itu juga dikira rezeki.

Maksud: “Ingatlah bahawa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 52)

Hati kita masih mempunyai iman yang baik dan masih mempunyai sifat-sifat mahmudah seperti sabar apabila dilanda ujian, benci akan kemaksiatan dan wujud perasaan ingin membantu, ia juga adalah rezeki yang perlu disyukuri.

Itu ialah rezeki pada hati yang telah Allah kurniakan. Tidak semua orang mempunyai nikmat yang begini.

Ada orang yang beranggapan bahawa melihat maksiat itu adalah perkara biasa. Ia tidak perlu menjadi kerisauan pun. Padahal itulah kebimbangan yang perlu ada.

Jadi, sentiasa doa pada Allah agar dikurniakan rezeki yang baik, sama ada dari hati dan juga pada luaran.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.