Ads Top

Mengantuk Dengar Khutbah Jumaat – Anda Boleh Beralih Tempat Duduk

Lalai ketika solat Jumaat merupakan perkara yang perlu dielakkan kerana ia boleh menyebabkan batalnya fadilat Jumaat yang ada. Ganjarannya sudah tidak sama lagi dengan ganjaran solat Jumaat kerana berlakunya perkara yang tidak sepatutnya.

Sebagai contoh, tidak mendengar khutbah kerana tidur atau bercakap-cakap, itu semua adalah perkara yang perlu dielakkan.

Apabila seseorang pergi untuk menunaikan solat Jumaat, dia perlu menghadirkan hatinya bukan hanya pada waktu solat itu, namun dari awal lagi termasuklah semasa khutbah disampaikan.

Kerana khutbah itu merupakan peringatan yang disampaikan buat orang Islam agar hati mereka sentiasa mendapat peringatan.

Walaupun anda sedang dalam keadaan mengantuk, cuba sedaya upaya tahan diri daripada melakukan perkara yang sia-sia. Jangan bercakap atau bermain telefon bimbit.

Namun, selalunya kalau mengantuk, kita lebih suka berubah tempat atau beralih kedudukan. Ia adalah perkara paling senang untuk dilakukan bagi menghilangkan rasa itu.

Tetapi, adakah perbuatan beralih tempat itu dibolehkan? Dalam hal ini, kita perlu melihat kepada dua situasi, iaitu:

#1 – Saf Yang Penuh

Sebelum pandemik COVID-19 muncul, kita akan duduk secara rapat-rapat dan itu menyukarkan seseorang untuk bergerak atau memilih tempat duduk lain.

Apabila pergerakan berlaku, ia cenderung untuk mengganggu jemaah yang lain dan boleh mengakibatkan jemaah tidak fokus, termasuk anda.

Jadi, perkara inilah yang perlu dielakkan. Kalau boleh, cuba elakkan untuk bergerak daripada tempat duduk anda. Bimbang jika waktu itu anda akan tergolong dalam keadaan lalai.

Boleh sahaja dilakukan perkara lain untuk menghilangkan mengantuk seperti memicit badan sendiri atau meregangkan badan sedikit. Asalkan ia tidak mengganggu jemaah lain.

#2 – Saf Yang Sedikit

Namun, dalam situasi sekarang di mana jemaah duduk secara renggang disebabkan oleh penjarakan fizikal yang berlaku, maka, pasti ada kosong sedikit di tempat anda.

Jadi, boleh sahaja mengesot sedikit ke kiri atau kanan anda bagi menghilangkan rasa mengantuk itu. Yang paling penting adalah dengan tidak mengganggu jemaah lain.

Tetapi, jika keadaan memerlukan anda beralih tempat duduk disebabkan oleh masalah-masalah yang berlaku seperti atap yang bocor atau tiba-tiba ada najis haiwan, maka boleh sahaja beralih.

Sebagaimana sebuah hadis yang pernah diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, Baginda SAW pernah bersabda:

Maksud: “Apabila salah seorang kamu mengantuk semasa dia berada di dalam masjid (pada hari Jumaat), maka hendaklah dia beralih kedudukan dari tempat duduknya itu kepada tempat yang lain.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 1119)

Kesimpulan

Dibolehkan untuk beralih dari tempat duduk anda sedikit bagi menghilangkan rasa mengantuk, membantu menambahkan fokus atau mengelak daripada masalah yang berlaku. Hukumnya adalah sunat.

Namun, perlu dilihat pada situasi dan saf yang kosong. Yang paling penting adalah tidak menimbulkan gangguan kepada jemaah yang lain.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.