Ads Top

2 Perkara Yang Dianggap Lalai Dalam Solat Jumaat

Solat Jumaat itu bukan bermula pada penunaian solat dua rakaat, namun ia bermula dari awal lagi, iaitu dari khutbah dan juga sehingga selesai solat.

Apabila seseorang itu datang lambat ketika khutbah, bermain-main ketika khatib sedang menyampaikan khutbah dan melakukan perkara-perkara yang boleh menghilangkan fokus, maka seseorang itu sudah termasuk dalam kalangan orang yang lalai dalam solat Jumaat.

Lalai di sini bermaksud fadilat yang diperolehnya sudah tidak sama dengan fadilat solat Jumaat. Dalam erti kata lain, ganjarannya adalah berbeza.

Ada sebahagian ulama yang berkata bahawa ganjaran itu sudah tidak menjadi seperti ganjaran solat Jumaat, namun sama sahaja dengan solat Zuhur.

Walau bagaimanapun, solatnya tetap sah tetapi fadilatnya sahaja yang berbeza. Di sini, kita perlu faham bahawa ada dua perkara yang telah digariskan bagi menunjukkan perkara-perkara yang boleh membatalkan fadilat solat Jumaat itu, iaitu;

#1 – Dari Sudut Perkataan

Ada sebuah riwayat daripada Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu: “Diamlah” ketika khatib sedang menyampaikan khutbah, maka sesungguhnya kamu telah lalai.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 934)

Sebarang bentuk perkataan sama ada yang sia-sia ataupun yang menegur kepada sesuatu perkara adalah dilarang untuk dilakukan semasa khatib sedang berkhutbah.

Justeru, apabila anda mendengar orang di tepi anda sedang bercakap atau melihatnya tidak fokus dengan khutbah yang disampaikan, maka jangan ditegur kerana anda juga cenderung untuk menjadi lalai.

#2 – Dari Sudut Perbuatan

Perbuatan yang boleh menghilangkan fokus atau mengganggu jemaah lain juga adalah tidak dibenarkan. Contohnya bermain telefon bimbit, membalas WhatsApp, makan atau minum dan seumpamanya.

Sebagaimana ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda:

Maksud: “Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat Jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari Jumaat (yang akan datang) serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 857)

Hadis ini menunjukkan perbuatan kita yang sia-sia juga boleh menyebabkan kita tergolong dalam kalangan yang lalai.

Namun, contohnya tempat yang anda duduk itu ada najis haiwan ataupun timbul rasa mengantuk dalam diri anda, maka boleh sahaja untuk beralih sedikit dari tempat duduk itu bagi menghilangkan perasaan itu.

Dalam hal ini, jumhur berpandangan bahawa boleh untuk beralih kedudukan jika ia boleh membantu seseorang itu lebih fokus pada khutbah, asalkan perbuatan itu tidak mengganggu jemaah lain.

Kesimpulan

Semasa khutbah disampaikan, hadirkanlah hati anda agar dapat mengambil isi khutbah dan peringatan yang disampaikan.

Jangan lalai dalam mendengarnya sama ada dari sudut perbuatan mahupun percakapan kerana ia boleh mengurangkan ganjaran pahala anda.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.