Ads Top

Maksud Hadis Tiga Tanda Bahagia

Setiap orang menginginkan kebahagiaan. Tipulah jika ada yang mengatakan bahawa kebahagiaan itu tidak penting. Fitrah manusia itu sama, ingin bahagia dan membahagiakan.

Cuma, konsep dan kefahaman bahagia dalam diri seseorang itu yang berbeza dan membezakan kita. Ada yang merasa bahagia apabila dikelilingi keluarga yang sihat dan tiada masalah. Ada pula yang bahagianya didefinisikan melalui rumah yang besar dan kereta yang mewah.

Pelbagai lagi definisi bahagia yang terkandung dalam diri seseorang. Walaupun begitu, konsep kebahagiaan itu adalah pada hati sendiri. Jika mempunyai rumah besar, namun niatnya adalah untuk membangga-bangga, maka setakat itu saja hakikat yang dirasai.

Sedangkan kebahagiaan ini adalah untuk diri sendiri dan bukan pada mata serta ‘keredaan’ orang lain.

Ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Nafi’ bin Abdul Harith, Baginda SAW bersabda;

Ù…ِÙ†ْ سَعَادَØ©ِ الْÙ…َرْØ¡ِ الْÙ…َسْÙƒَÙ†ُ الْÙˆَاسِعُ ، Ùˆَالْجَارُ الصَّالِØ­ُ ، ÙˆَالْÙ…َرْÙƒَبُ الْÙ‡َÙ†ِيءُ

Maksud: “Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 457)

Melalui hadis ini, ramai yang menjadikannya sebagai titik tolak dan kayu ukur kepada kebahagiaan. Namun, tahukah anda maksud sebenar di sebalik hadis ini?

#1 – Rumah Yang Luas

Rumah yang luas di sini bukanlah bermaksud mempunyai rumah mewah barulah tampak bahagia.

Namun, ia lebih kepada apa yang kita hiasi di dalamnya. Adakah di dalam rumah itu lebih banyak pergaduhan berbanding dengan sifat kasih sayang suami isteri?

Atau adakah di rumah itu lebih banyak perkara yang melalaikan sehinggakan kita melupakan Allah?

Rumah itu boleh terasa luas dan tenang apabila hati kita sentiasa merasa bahagia dengan dihiasi perkara-perkara yang boleh mendekatkan diri dengan Allah.

Ada orang yang mempunyai rumah besar, namun hatinya tidak tenang atau sehingga ia merasa bahawa ia sedang berada di dalam penjara. Kenapa? Di sini, anda sendiri yang perlu periksa di mana silapnya.

Tak kisah anda duduk di rumah yang besar atau kecil mahupun di rumah kayu atau batu, namun jika hati anda tenang dengannya, maka ia adalah salah satu tanda kebahagiaan yang sudah anda kecapi.

#2 – Jiran Yang Soleh

Seseorang itu akan merasa aman apabila dikeilingi oleh golongan yang baik dan tidak mengganggu hal orang lain.

Al-Munawi berkata – “Jiran yang soleh ini ialah yang tidak menyakiti orang lain.”

Kita tidak tahu siapa jiran kita, namun kita boleh berdoa agar Allah mengurniakan jiran yang baik-baik kepada kita.

Mengapa pentingnya jiran yang soleh ini? Sebab mereka ialah tetangga kita yang akan membantu membuatkan kita merasa bahagia atau sebaliknya apabila berada dengannya.

Bayangkan jika jiran anda itu seorang pencuri atau samseng, pastinya anda pun takut untuk meninggalkan rumah sebab bimbang jika terjadi apa-apa pada kediaman anda.

Apabila pergi ke tempat kerja pun pasti fikiran anda teringat rumah sebab takut jika diapa-apakan. Itu bukan bahagia yang kita inginkan.

Bahagia itu apabila kita merasa selamat dengan persekitaran. Yang paling baik ialah apabila jiran kita itu tahu menghormati dan pandai mengambil berat akan diri kita. Sangat berbeza antara mengambil berat dan menjaga tepi kain orang.

#3 – Kenderaan Yang Elok

Sama ada kenderaan yang kita miliki itu kecil atau besar, motosikal atau kereta, asalkan ia adalah yang sentiasa memberi kesenangan dan ketenangan kepada diri kita.

Jika ada kereta mewah, namun sentiasa rosak dan memerlukan kos yang banyak setiap kali perlu dibaiki, itu bukanlah yang memberi ketenangan kepada pemiliknya.

Kebahagiaan di sini bermaksud apabila berada di dalamnya, hati kita tidak akan gundah gulana, tidak akan cepat marah kerana kekurangannya dan yang paling penting adalah yang boleh mengingatkan kita kepadaNya.

Imam At-Tahwi berkata – “Ia (kenderaan yang baik) menjauhkan hati dari kegelisahan. Kenderaan yang baik menjadikan penunggangnya sibuk dengan zikir kepada Allah ataupun sibuk dengan perkara lain disebabkan kenderaannya yang tidak elok yang mana ia menyakitkan orang yang menaikinya.” (Bayan Musykil al-Athar, 7/43)

Ada juga orang yang lebih gemar menaiki kenderaan awam seperti LRT, MRT dan sebagainya. Selagi itu adalah yang memudahkan, maka itulah erti bahagia buat dirinya.

Jangan dipandang rendah akan mereka yang belum memiliki kenderaan. Ada orang yang merasakan bahawa ia bukan lagi keperluan.

Kesimpulan

Definisi bahagia itu pelbagai. Tiga perkara ini adalah antara beberapa tanda yang boleh dijadikan titik tolak kepada kebahagiaan dalam hidup seseorang.

Jangan dilihat pada bahagia orang lain untuk menjadikan anda bahagia kerana anda sendiri yang menentukan kebahagiaan diri sendiri.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.