Ads Top

Lanjutan Tempoh PKP: Melengkapkan Episod Mencabar Sektor Pawagam Dalam Negara

Oleh: Onn Norshal Hamzah
(Kolumnis KopiPlanet.com)

Pada 28 Ogos 2020, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat pengumuman bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dilanjutkan dari 31 Ogos 2020 ke 31 Disember 2020.

Keputusan kerajaan ini adalah berdasarkan kepada situasi semasa negara dan dunia ketika ini yang masih lagi berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19 yang masih belum menampakkan kesudahannya.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus menghormati keputusan kerajaan ini yang dilihat bertujuuan untuk melindungi rakyat dari pandemik yang sangat mencabar ini.

Dari sisi yang lain, lanjutan PKPP ini memberikan penekanan bahawa amalan norma baharu dengan penjarakkan sosial, memakai pelitup muka dan lain-lain adalah satu kewajipan dari segi undang-undang.

Melihat aspek itu, banyak sektor akan masih terkesan antaranya sektor pawagam di Malaysia.

Melalui norma baharu yang disyaratkan, antara yang menjadi amalan bagi pawagam negara ini ialah penjarakkan tempat duduk yang menyebabkan kapasiti yang disediakan untuk tayangan adalah kurang.

Selain itu, dari segi penayangan pula, tidak ada lagi sesi penayangan larut malam sehingga pukul 2.00 pagi hingga 3.00 pagi.

Ini tidak termasuk lagi norma asas seperti pemeriksaan suhu, catatan nama dan lain-lain yang mungkin merimaskan penonton dan mengurangkan “selera’ untuk ke pawagam.

Akhirnya kemeriahan yang biasanya kita lihat ada di pawagam sebelum ini berubah menjadi suram.

Namun perkara yang paling memberikan kesan kepada pawagam ialah penarikan filem tayangan untuk dianjakkan ke satu tarikh di hadapan.

Malah ada sesetengah filem yang sepatutnya menjadi tayangan pembukaan di pawagam telah dialih ke saluran altenatif seperti Astro, Netflix, Disney Plus dan lain-lain.

Pada peringkat percubaan ini, ramai pengedar termasuk studio utama telah mencuba untuk membuat tayangan serentak seperti filem Mulan yang ditayangkan di pawagam pada 4 September 2020 serentak dengan tayangan di saluran altenatif Disney Plus.

Ini adalah satu percubaan dan apa-apa hasilnya nanti bakal menjadi pengukur kepada strategi tayangan akan datang.

Jadi, apa yang dapat disimpulkan bahawa, dengan segala cabaran yang dihadapi melalui perintah kawalan dari kerajaan bermula 18 Mac hingga penamatnya pada 31 Disember ini bakal melengkapkan episod paling mencabar industri perfileman dan sektor pawagam setelah beberapa dekad.

Tahun 2020 akan menjadi satu lembaran pahit untuk ahli industri yang disebabkan oleh sesuatu yang diluar kawalan.

Namun begitu, jika industri mampu bertahan dan mencapai formula mendepaninya, sangat percaya bahawa sektor ini akan kembali hidup dan terus berkembang.

Pada penamat PKPP 31 Disember nanti, kita akan disajikan dengan satu naskhah hebat iaitu Mencari Rahmat. Jadi, jangan lupa untuk lepaskan ‘kemarahan’ kawalan ini dengan hadir menonton filem ini.

Perlu diingat, dengan menonton filem ini nanti, bukan sahaja kita menunjukkan sokongan kepada filem kita, tetapi juga untuk memastikan sektor pawagam untuk terus hidup.

Mari kita saling membantu demi cinta kita untuk industri. – KopiPlanet.com

The post Lanjutan Tempoh PKP: Melengkapkan Episod Mencabar Sektor Pawagam Dalam Negara appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.