Ads Top

Status Hadis – Ancaman Khusus Bagi Solat 5 Waktu Yang Ditinggalkan

Apabila kita bercakap mengenai solat, kita mengetahui bahawa kewajipan untuk melakukannya dengan tidak memandang ringan akan perkara tersebut.

Ia merupakan tiang agama dan perkara pertama yang akan dihisab oleh Allah di akhirat kelak. Disebabkan itu, banyak hadis dan dalil yang menunjukkan peri pentingnya menjaga solat.

Namun, dalam pelbagai riwayat yang kita dengar dan ambil sebagai peringatan, kita perlu akur bahawa ada segelintir daripadanya merupakan perkara yang palsu tetapi tetap disebarluaskan.

Jadi, kali ini kita akan melihat akan kepalsuan dalil yang telah disebar dalam masyarakat kita.

Maksud: “Meninggalkan satu kali solat Subuh, akan dimasukkan ke dalam neraka selama 30 tahun bersamaan 60 000 tahun di dunia. Meninggalkan satu kali solat Zohor, dosanya sama seperti membunuh 1000 orang Islam. Meninggalkan satu kali solat Asar, dosanya sama dengan meruntuhkan Ka’abah. Meninggalkan satu kali solat Maghrib, dosanya sama seperti berzina dengan orang tua. Meninggalkan satu kali solat Isyak, tidak akan diredai Allah untuk tinggal di bumi atau di bawah langit serta makan dan minum dari nikmatNya.”

Menurut jumhur ulama, riwayat ini adalah palsu kerana tidak diketahui asalnya daripada kitab-kitab hadis yang sering kita dengar.

Cuma, ia sering disebarkan kerana menunjukkan amaran dalam meninggalkan solat. Umum mengetahui bahawa meninggalkan solat adalah perkara yang dilarang. Disebabkan itu, dalil palsu ini masih lagi menular.

Apabila dilihat pada jenis hadis pula, ia menunjukkan amaran yang melampau dan khusus untuk setiap waktu solat. Ada sebuah perbahasan di mana jumhur berpendapat bahawa ia adalah perkara yang melebih-lebih dalam agama.

Justeru, dapat kita faham di sini bahawa hadis ini adalah palsu dan tidak boleh disebarkan melainkan untuk memberitahu statusnya.

Dosa Meninggalkan Solat

Solat itu perlulah dijaga kerana apabila kita berusaha untuk menjaga solat ertinya kita sedang berusaha untuk memperbaiki diri sendiri.

Imam al-Zahabi berkata – “Solat itu umpama pertalian hamba dengan tuhannya yang mana orang yang memutuskan pertalian itu dikira berdosa besar, apatah lagi jika dia mengingkari kewajipannya atau memperkecilkan orang yang mengikat pertalian itu sehingga dianggap kafir. Dia perlu bertaubat dan kembali kepada tuhanNya.”

Dapat difahami di sini bahawa pertalian manusia itu ada dua yang perlu dijaga, iaitu antara sesama makhluk dan juga dengan penciptanya.

Kedua-duanya sangat penting. Dan cara untuk menjaga pertalian dengan Allah adalah dengan memulakan menjaga perkara yang paling utama, iaitu solat.

Jadi, walaupun kehidupan ini dilanda dengan kesibukan dunia, dilanda dengan nafsu malas dan hasutan-hasutan jahat, cuba untuk lawan perkara itu dengan tetap menunaikan solat.

Kalau malas meninggalkan sebab sengaja atau memang tidak punya keinginan untuk menunaikannya, maka seseorang itu sudah termasuk dalam kalangan orang yang lalai dan dia telah rugi.

Sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud:

Maksud: “Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada hari akhirat kelak adalah amal solatnya. Jika solatnya benar (sempurna), maka jika baik solatnya dia telah berjaya dan menang. Jika kurang (tidak benar), maka dia telah rugi dan menyesal.” (Hadis Riwayat Ahmad, 8017)

Justeru, jagalah solat anda, insyaAllah, hidup anda akan dijaga Allah.

Rujukan;
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.