Ads Top

Ketahui Langkah Penjagaan Berbekam Yang Digariskan KKM

Bekam adalah satu amalan kesihatan yang sudah diamalkan berkurun lamanya. Amalan ini melibatkan penggunaan cawan (cup) atau bekas yang telah dikeluarkan udaranya (vacum) dan dilekatkan pada bahagian tubuh yang tertentu.

Seperti yang kita tahu ia adalah salah satu sunnah yang dianjurkan dalam Islam dan menjadi amalan yang sering dilakukan oleh Nabi SAW.

Daripada Abdullah bin Abbas :

حجم النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ عبدٌ لبني بياضةَ . فأعطاهُ النبيُّ أجرَه . وكلَّم سيدَه فخفَّفَ عنهُ من ضريبتِه . ولو كان سُحتًا لم يُعطِه النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم

Maksudnya: “Nabi SAW pernah berbekam oleh seorang hamba kepunyaan Bani Bayadhah. Maka Nabi SAW memberinya upah dan Nabi SAW bercakap dengan tuannya agar meringankan tugasnya”. Jika berbekam ini adalah haram, tentu Nabi SAW tidak memberikannya upah. (Riwayat Muslim, kitab pengairan, bab halalnya upah kepada pembekam, no. 2955)

Sebenarnya ia bukan amalan tradisi dalam Islam sahaja malah menurut catatan dalam Ebers Papyrus, sebuah buku teks perubatan tertua di dunia, bekam dipercayai diamalkan sejak 3000 tahun sebelum Masihi lagi.

Contohnya di Mesir, penduduknya telah mengamalkan bekam sejak tahun 1500 SM dan ahli arkeologi menjumpai bukti penggunaan bekam oleh penduduk China seawal 1000 SM.

Di dunia moden hari ini, ramai pihak yang telah menyediakan servis bekam dengan teknik pelbagai contohnya bekam kering, bekam angin dan bekam darah (bekam basah).

Untuk bekam kering dan angin, cawan atau bekas khas akan ditekapkan di atas permukaan kulit sahaja tanpa mengeluarkan darah, manakala untuk bekam basah, torehan kecil akan dilakukan di permukaan kulit sebelum disedut darahnya menggunakan cawan khas tadi.

Apa pun tekniknya, sebagai pelanggan yang akan melalui proses bekam, anda perlu mengetahui beberapa langkah penjagaan berbekam yang telah digariskan oleh Bahagian Perubatan Tradisional Dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia agar keselamatan serta kesihatan lebih terjamin. Garis panduan tersebut telah dikeluarkan pada tahun 2013.

Pelanggan yang ingin mendapatkan rawatan bekam mestilah berumur antara 10 hingga 65 tahun. Bagi mereka yang berumur lebih 65 tahun, berbekam boleh dilakukan jika mempunyai tahap kesihatan yang baik.

Tempoh Rawatan

Aplikasi rawatan bekam adalah selama 10-15 minit sahaja untuk setiap cawan atau sehingga kawasan di bawah cawan bekam bertukar menjadi kemerah-merahan.

Hanya sebanyak 10 cawan boleh digunakan pada satu prosedur.

Tempat berbekam pada suatu bahagian badan yang sama hanya boleh dibekam sebanyak 3 kali (maksimum 7 kali) manakala untuk bekam basah, torehan tidak boleh dilakukan di tempat yang sama untuk dua kali.

Kelebihan Berbekam

Antara kelebihan berbekam pula seperti yang digariskan oleh pihak KKM, ia boleh digunakan untuk masalah-masalah kesihatan seperti berikut:

  • Untuk mengurangkan kesihatan (kronik dan akut)
  • Untuk ketenangan mental dan fizikal
  • Sebagai suatu cara urut tisu dalaman
  • Merawat insomnia
  • Kes lumpuh
  • Penyakit berkaitan sistem penghadaman seperti gastritis dan ketidakhadaman

Selain itu, sebagai pengamal dan pengguna bekam, anda perlu tahu bahawa rawatan ini tidak dibolehkan buat pesakit kanser, pelanggan yang sedang menghidapi penyakit berjangkit, mereka yang mengalami patah tulang atau kekejangan otot, wanita yang mengandung, sedang haid dan lain-lain.

Selain itu bagi pengamal bekam juga, mereka perlu memastikan bahawa alatan yang digunakan dijaga dan disteril dengan rapi manakala pengurusan sisa klinikal pula mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Pemantauan

Pelanggan yang menjalani rawatan perlu dipantau untuk sebarang komplikasi atau kesan sampingan yang mungkin berlaku, khususnya 15 minit selepas prosedur.

Selain itu, pengamal juga perlu mengenal pasti pekerjaan pelanggan tersebut kerana bimbang risiko pengsan selepas bekam dapat memudaratkan dan membahayakan nyawa pelanggan atau orang lain, contohnya pemandu kapal terbang, pemandu bas dan doktor bedah.

Manakala sekiranya berlaku kegagalan fungsi kardiorespiratori, talian 999 perlu dihubungi untuk bantuan perubatan kecemasan.

Kesimpulan

Maklumat ini bukan hanya penting untuk diketahui oleh pengamal bekam sahaja malah pengguna sendiri. Anda dapat mengetahui sama ada pengamal bekam telah merujuk kepada garis panduan, langkah penjagaan serta keselamatan yang betul atau tidak, seterusnya anda sendiri boleh mengambil langkah penjagaan untuk diri sendiri semasa melalui proses berbekam.

Rujukan:

  1. Garis Panduan Amalan Perubatan Tradisional & Komplementari : Bekam



No comments:

Powered by Blogger.