Ads Top

Impian Saidina Umar – Suntikan Untuk Kita Tidak Putus Asa

Apabila berbicara mengenai cita-cita, pastinya setiap dari kita punya cita-cita dah impian yang ingin dilakukan.

Bila diimbas kembali zaman persekolahan apabila guru bertanya – “apa cita-cita kalian?”

Pasti ada yang menjawab nak menjadi polis, guru, anggota bomba, askar dan sebagainya. Itu semua adalah impian yang telah kita letakkan sejak kecil. Ada yang impiannya berubah seiring dengan perkembangan dan masa, namun ada juga yang berjaya menggapainya.

Walau bagaimanapun, itu ialah impian besar yang kita letakkan dalam hidup. Jika kita lihat balik, sebenarnya banyak sahaja impian lain yang telah kita lekatkan pada minda, contohnya ingin menjadi kaya, ingin memasuki menara gading dan sebagainya.

Setiap hari, pasti ada sahaja perkara yang ingin kita lakukan atau ada sahaja ilham yang tercetus untuk kita melakukan sesuatu.

Walaupun sukar untuk kita gapai impian itu; kerana jalan yang dilalui pasti berliku-liku, namun pastinya dengan semangat yang jitu dan usaha yang terus, ia akan berjaya dicapai suatu hari nanti.

Kita lihat cita-cita salah seorang sahabat yang sangat dikagumi, iaitu Saidina Umar Al-Khattab dalam kisah ini:

Maksud: “Tunjukkan cita-cita kamu?” Salah seorang sahabat menjawab: “Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi emas, agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah.” Sahabat yang lain pula berkata: “Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi zamrud dan batu permata agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah.”

Kemudian, Umar berkata: “Aku bercita-cita agar rumahku dipenuhi pemuda-pemuda seperti Abu Ubaidah Ibn Al-Jaraah, Muaz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah Ibn Al-Yaman.” (Hadis Riwayat Al-Hakim, no. 5005)

Melalui hadis ini, kita dapat lihat bahawa setiap sahabat ada impian yang ingin dikecapi. Dan impian itu terbit untuk menyumbangkan sesuatu kepada agama sendiri.

Jadi, tak salah untuk mempunyai impian walau ia adalah sekecil-kecil perkara, namun jika impaknya besar kepada diri sekeliling dan orang awam, maka teruslah berusaha untuk menggapainya dan jangan berputus asa.

Wallahu a’alam.

Sumber Hadis:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.