Hukum Makan Makanan Yang Telah Diniatkan Untuk Sedekah
Amalan bersedekah sangat dinilai tinggi dalam Islam. Sesiapa yang mengeluarkan sedekah dijanjikan dengan balasan baik bukan sahaja di dunia malah kemudahan di akhirat kelak.
Namun ada kalanya, hati kita boleh jadi berbolak balik apabila ingin bersedekah mungkin kerana terasa sayang dengan barangan tersebut atau masih mahukannya.
Contoh situasi, apabila anda telah beli dua bungkus nasi lemak untuk dibawa pulang ke rumah sewa dengan niat belanja atau sedekah kepada rakan serumah. Satu untuk anda dan satu lagi untuk kawan. Tetapi apabila anda makan satu daripada makanan tersebut, anda masih lapar dan tidak jadi untuk menyedekahkan yang selebihnya.
Bagaimana dengan hukum niat untuk sedekah tadi? Adakah haram memakan makanan yang telah diniatkan untuk sedekah?
Bagi memahami hal ini, terlebih dahulu kita perlu mengetahui bahawa hukum menarik kembali sedekah boleh dibahagikan kepada dua iaitu sedekah yang sudah diterima oleh penerima dan belum diterima.
#1 – Sedekah Yang Sudah Diterima
Hukum menarik kembali sedekah yang telah diberikan dan diterima oleh penerima adalah haram dan berdosa. Beratnya hal ini apabila Rasulullah SAW pernah memberi perumpamaan terhadap orang yang menarik semula sedekah seperti anjing yang memakan muntahnya semula.
Rasulullah SAW bersabda:
مثَل الذي يرجِعُ في صَدَقَتِه، كمثَلِ الكَلبِ يَقيءٌ، ثم يعودُ في قَيئِه فيأكُلُه
Maksudnya: Perumpaan orang yang menarik kembali sedekah yang telah diberikannya diibaratkan seperti anjing yang muntah, kemudian ia kembali memakan muntahnya sendiri. (Riwayat Muslim, no.1622)
Jika sedekah itu dalam bentuk barang, ia telah menjadi hak penerima. Jika ia dalam bentuk makanan pula, bagaimana ingin memulangkan kembali makanan yang telah dimakan.
Perbuatan menarik kembali sedekah jelas akan melukakan hati penerima dan menyusahkannya, yang sama sekali dilarang dalam Islam.
#2- Sedekah Yang Belum Diterima
Kedua, jika sedekah tersebut diniatkan sahaja dan belum diterima oleh penerima, seseorang itu boleh menarik kembali, dalam erti kata lain, mengubah kembali niat dan keputusannya untuk bersedekah dan hukumnya harus.
Dia boleh memakan makanan tersebut dan tidak berdosa, ini kerana ia sekadar diniatkan dan belum diberikan. Walau bagaimanapun jika tiada keperluan, sunat baginya untuk memberikan juga kepada penerimanya, kerana ia dinilai sebagai tindakan melawan nafsu dan kehendak peribadi semata-mata. Wallahua’lam.
Rujukan:
No comments: