Gila Gandingkan Kaka Azraff Dengan Rapper Popular Noki & Loca B
Ketika dunia menghadapi ancaman pandemik Covid-19, tidak seorang pun terlepas daripada merasa impaknya. Malaysia juga tidak ketingggalan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa rakyat Malaysia membataskan pergerakan dan hanya berkurung di rumah berbulan-bulan lamanya.
Seakan-akan cuba menyampaikan rasa resah gelisah terperangkap dalam situasi sebegini, artis muzik urban tempatan iaitu Kaka Azraff, Loca B dan Noki dari kumpulan Hip Hop terkenal K-Clique tampil berkolaborasi dalam single terbaharu mereka berjudul Gila.
Lagu ciptaan bersama Noki, Loca B dan Ezra Kong ini diberikan susunan muzik bercitarasa urban sesuai dengan trend muzik masa kini. Sungguhpun begitu, lagu ini bukan sekadar hiburan kosong.
Noki selaku salah seorang pencipta lagu berkenaan berkata, lagu Gila ini mengangkat subjek yang berat namun sarat dengan mesej positif, manakala liriknya disusun dengan prosa mudah tetapi puitis yang membawa makna yang mendalam.
“Gila menceritakan tentang kekuatan diri dalam menangani kekalutan yang membelenggu minda dan jiwa dengan menguasai rasa takut dan terus kental menjalani kehidupan.
“Ia juga lebih berkisar kepada luah hati menerusi lirik-lirik dalam lagu ini. Boleh dikatakan ia adalah dua kisah antara saya dan Loca B dan dirangkumkan untuk menjadi sebbah lagu,” jelasnya.
Noki perkata demikian sewaktu ditemui semasa majlis pelancaran lagu dan video muzik rasmi Gila yang berlangsung baru-baru ini.
Pada majis berkenaan, turut dilancarkan video muzik rasmi lagu berkenaan sebagai pendamping visual single ini yang diarahkan Adriana Tunku dari Denhouse Productions.
Sementara itu, Kaka yang yang turut berkolaborasi dalam lagu ini melahirkan rasa gembiranya kerana dapat bergandingan dengan kedua-dua rapper popular tersebut.
“Apabila ditawaran untuk terbabit dengan single ini, saya cukup teruja kerana bekerjasama dengan kedua-duanya. Malah, saya rasakan Gila sebuah lagu yang cukup unik,” ujarnya.
Gila diterbitkan oleh Black Hat Cat Records dengan kerjasama Warner Music Malaysia selaku pengedar. Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 31 Julai 2020. – KopiPlanet.com
No comments: