Ads Top

Frontliner Papar Realiti Cabaran Pejuang Barisan Hadapan Menentang Covid-19

Bagi memberikan gambaran sebenar mengenai realiti kehidupan yang dialami petugas barisan hadapan dalam membendung penularan wabak Covid-19, syarikat produksi D’Alphalegacy Sdn. Bhd tampil dengan naskhah terbaharu mereka berjudul Frontliner.

Filem televisyen (FTV) Frontliner bakal disiarkan di saluran Astro First Ekseklusif (480) bermula Oktober ini.

Menurut pengarahnya, Razif ‘Ajiboy’ Razif, Frontliner bukan hanya tertumpu kepada pengorbanan pejuang barisan hadapan di lapangan tugas tetapi lebih kepada konflik dalaman yang dialami oleh mereka.

“Cabaran dan tanggungjawab yagn harus meeka pikul amat berat. Namun mereka harus kuat dan tabah untuk terus berjuang. Sebagai mana masyarakat yang rata-rata tertekan akibat pandemik Covid-19, golongan frontliner juga turut tertekan kerana mereka juga mempunyai keluarga dan masalah seperti kita yang mungkin tidak disedari oleh orang lain. Di sebalik pengorbanan mereka sebagai frontliner, wujud pengorbanan dan konflik dalaman lain di sebaliknya.

“Pelbagai isu-isu sampingan sewaktu fasa PKP termasuk isu golongan kluster tabligh dan kluster kayangan yang turut dimasukkan dalam filem ini. Mesej utama yang ingin disampaikan menerusi naskhah ini ialah tidak kira apa sahaja rintangan dan dugaan yang melanda, kita tidak boleh menghukum seseorang kerana setiap permasalahan pasti ada sebabnya,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com pada majlis sidang media FTV Frontliner yang berlangsung di Publika, Kuala Lumpur semalam.

Frontliner dibintangi Azhan Rani, Emma Maembong, Beto Kusyairy, Farah Ahmad, Wan Maimunah, Achey, Shamsul Danish, Black, Ashraf Muslim, Zul Handy Black dan Meerqeen.

Sementara itu, Azhan yang melakonkan watak sebagai Dr. Azhan menceritakan cabarannya yang perlu memakai pakaian keselamatan PPE yang disifatkan sebagai suatu yang ‘azab’.

“Dalam filem ini, paling lama saya dalam sut PPE ialah selama tiga jam. Itupun saya dah rasa rimas, bayangkan macam mana pejuang barisan hadapan lain yang perlu memakai PPE sekurang-kurangnya dalam tempoh enam jam.

“Perkara ini membuatkan saya salute dengan pengorbanan frontliner semua yang sanggup merisikokan diri mereka demi tugas terhadap masyarakat dan negara.

“Pengorbanan mereka wajar kita hargai sebab mereka sanggup tinggalkan keluarga dan anak-anak demi bersama-sama membasmi penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Frontliner yang diinspirasikan daripada pelbagai kisah benar seperti pengorbanan seorang ibu yang sakit tetapi harus membenarkan anak berkorban demi negara walaupun jauh di sudut hatinya tidak bersetuju.

Selain itu, ia turut memaparkan pengorbanan seorang doktor yang terpaksa berjauhan dengan isteri kesayangan yang sedang hamil demi kesihatan dan keselamatan isterinya turut diceritakan menerusi naskhah hebat ini. – KopiPlanet.com

The post Frontliner Papar Realiti Cabaran Pejuang Barisan Hadapan Menentang Covid-19 appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.