Ads Top

Cantikkan Wajah vs Cantikkan Hati

Ramai orang yang sangat menitikberatkan tentang penjagaan diri dan wajah. Kita ingin kelihatan kemas dan nampak cantik. Ada yang ingin wajah yang putih, ‘flawless’, dan nampak ‘glowing’ seperti kebanyakan artis Korea.

Buat sahaja thread di Twitter tentang bagaimana untuk menjaga wajah supaya sihat dan cantik, maka pasti ramai yang mengikuti dan memberi maklum balas. Berpusu-pusu orang yang bertanya mahupun yang berkongsi tentang tips penjagaan wajah, tips memakai kosmetik, tips nak dapat bibir yang sihat dan 1001 macam tips lagi.

Tidak cukup dengan itu, ada yang mencari dan mengikuti pula perkongsian tips untuk sihat dan cantik daripada mana-mana influencer di Youtube mahupun Instagram.

Apa sahaja produk yang dicadangkan, sebolehnya ingin cuba didapatkan. Hal ini bukan hanya dilakukan oleh wanita malah lelaki juga ada.

Adakah usaha ini salah?

Tidak. Ia tidak salah jika tidak sampai mengubah ciptaan Tuhan. Tambahan pula, usaha menjaga diri agar kekal sihat dan cantik adalah suatu yang dituntut dalam agama Islam dengan syarat tidak sampai kepada tahap berlebih-lebihan, tabaruj atau membazir.

Yang salah apabila seseorang itu hanya memperbaiki kecantikan luaran sahaja dan langsung tidak mempedulikan kecantikan dalaman. Dengarkan apa kata Imam Ghazali:

“Sungguh menghairankan orang yang sangat mengambil perhatian terhadap muka (wajahnya) yang merupakan tempat makhluk melihat, tetapi tidak memerhatikan hatinya, yang merupakan tempat Pencipta (Allah) melihat.”

Kecantikan dalaman adalah kecantikan hati. Adakah hati kita masih ada sifat-sifat buruk seperti selalu mencari kesalahan orang lain, selalu bersangka, kedekut untuk berkongsi nikmat yang ada, sombong dan hasad dengki?

Seperti yang disebutkan Imam Ghazali, hati lah tempat jatuh pandangan Allah. Allah menilai hati manusia. Kita mungkin mampu menipu manusia, namun kita tidak dapat menipu Allah.

Malah Rasulullah SAW memberi penegasan dalam satu hadis bahawa orang yang ada perasaan sombong dalam hatinya walau sebesar zarah tidak akan masuk syurga.

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.” (Sahih Muslim, no.51)

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW menerangkan bahawa setiap kali seorang hamba berbuat dosa, maka titik hitam akan bertambah di hatinya. Dan titik hitam inilah yang akan menyelubungi hati dan menghalang daripada cahaya. Ketika dia meninggalkan dosa dan bertaubat maka hatinya kembali bersih. Begitulah seterusnya.

Marilah kita berusaha mencantikkan hati, bukan mencantikkan diri dan wajah semata-mata. Sesungguhnya pandangan Allah lah yang lebih ingin kita cari berbanding pandangan manusia yang sementara. Orang boleh memuji dan orang juga boleh mengeji di masa yang lain. Namun jika kita cantik di mata Allah, kita akan terus-terusan diganjari kebaikan dan kasih sayang olehNya.




No comments:

Powered by Blogger.