Ads Top

Bolehkah Menjauhkan Diri Daripada Rakan Bagi Mengelakkan Sakit Hati

Setiap orang pasti pernah disakiti atau menyakiti seseorang sama ada dengan perlakuan atau kata-kata. Jika kita pernah disakiti, mesti kita tahu bagaimana rasa terluka dan sedih diperlakukan sebegitu. Ada masanya pula mungkin kita pernah menyakiti, cuma boleh jadi kita sedar, tidak sedar atau tidak sengaja melakukannya.

Kadang-kadang ada rasa ingin menjauhkan diri daripada seseorang kerana tidak mahu lagi perbuatan mereka memberi kesan kepada diri. Namun adakah hal ini dibolehkan dalam Islam. Tidakkah ia seperti memutuskan silaturahim?

Sebenarnya persoalan ini telah terjawab dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal r.anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Lima perkara yang mana jika seseorang itu melakukan salah satu daripadanya maka dia akan mendapat perlindungan dari Allah, iaitu seseorang yang menziarahi orang sakit, atau keluar mengiringi jenazah (ke perkuburan), keluar berperang di medan jihad, pergi kepada seorang pemimpin dengan tujuan untuk menghormati dan memuliakannya, atau seseorang yang duduk di dalam rumahnya lalu manusia selamat darinya (kejahatan lidah dan tangannya) dan dia juga selamat dari (kejahatan lidah dan tangan) manusia.” (Riwayat Al-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir, no.55)

Perbuatan duduk di rumah itu ibarat suatu bentuk penjarakan sosial bagi mengelakkan keburukan berlaku ke atas diri sendiri atau ke atas orang lain. Ia dibenarkan supaya individu itu terselamat daripada bahaya sama ada berbentuk fizikal atau lisan.

Walau bagaimanapun, dalam menilai perbuatan orang lain adalah buruk buat diri atau tidak, kita perlu lebih memperhalusi beberapa persoalan.

Adakah mereka benar-benar berniat menyakiti? Adakah kerana ada isu lain yang berlaku antara kita dan dirinya yang menyebabkan perbuatan sakit-menyakiti itu berlaku. Adakah kita memang seorang yang sensitif dan cepat berkecil hati? Adakah kita sebenarnya yang suka meletakkan salah pada orang lain dan menuduh mereka ingin menyakiti?

Persoalan-persoalan ini saya rasakan penting supaya kita lebih adil menilai dan dapat mengelak berlaku ‘bias’ yang tidak disedari.

Jika kita singkap sirah Rasulullah SAW, bagindalah orang yang paling banyak disakiti. Bukan hanya dengan kata-kata cercaan daripada pihak yang menentang Islam namun disakiti dan dilukakan badan baginda. Tetapi adakah baginda duduk berkurung di dalam rumah dan tidak lagi keluar untuk mengelakkan daripada disakiti?

Sudah tentu tidak. Baginda mengenepikan rasa sakitnya dan mengutamakan matlamat yang lebih utama iaitu menyebarkan rahmat dan mesej Islam kepada sesiapa sahaja.

Memang tidak salah memilih untuk menjauhkan diri jika permasalahan yang berlaku antara kita dan pihak sana sudah menemui jalan buntu, dan kita terus-terusan disakiti. Namun jika ia masih boleh diselesaikan, belajarlah menyelesaikan masalah dengan berbincang dan terus menghubungkan rasa kasih sayang dalam bersaudara.

Di akhirnya, ingatlah bahawa antara ciri seorang Islam itu adalah apabila muslim yang lain selamat daripada kejahatan lidahnya dan juga perbuatannya. Beringat-ingatlah dalam berurusan dengan manusia kerana kita semua tidak sama.

Rasulullah SAW bersabda:

الْÙ…ُسْÙ„ِÙ…ُ Ù…َÙ†ْ سَÙ„ِÙ…َ الْÙ…ُسْÙ„ِÙ…ُونَ Ù…ِÙ†ْ Ù„ِسَانِÙ‡ِ ÙˆَÙŠَدِÙ‡ِ

Maksudnya : Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya. (Riwayat Al-Bukhari, no.6484)

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.