Ads Top

Bila Diam Itu Lebih Baik Daripada Bicara

Kehidupan itu adalah satu ujian. Ujian yang dihantar oleh Allah adalah rahmat yang jarang disedari.

Antara ujian Allah  tersebut adalah datang dari  setiap bicara  yang terbit daripada lisan. Setiap  perkataan yang diungkapkan  sama ada berbentuk  pujian serta syukur mendatangkan manfaat manakala  kejian, sindiran dan kata nista setiap satu mengakibatkan dosa kepada si penutur.

Islam menggalakkan umatnya agar berani menyuarakan kebenaran bagi menegakkan sesuatu yang benar meskipun yang akan dibicarakan itu pahit didengari. Namun dalam beberapa keadaan tanpa bicara (diam) adalah lebih baik dan tindakan harus dilakukan pada masa tersebut.

Contohnya apabila  berasa marah adalah lebih baik untuk diam kerana perkataan-perkatan yang diungkapkan dalam keadaan sedang marah berkemungkinan akan mengguris perasaan orang lain dan boleh jadi juga memberi ancaman kepada diri sendiri.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( إذا غضب أحدكم فليسكت ) رواه الإمام أحمد

Maksudnya : “Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.” (Riwayat Imam Ahmad)

قول النبي صلى الله عليه وسلم ( من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت وقوله صلى الله عليه وسلم : 

( من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه )

Maksudnya :  Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu berkata : “Rasulullah S.A.W bersabda:

 “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia mengatakan yang baik atau hendaklah ia diam”.       (Hadis riwayat Bukhari)

Ibnu Abdil Barr Rahimahullah berkata :

 “Di dalam hadis ini terdapat adab-adab dan sunnah darinya adalah penekanan dalam keharusan berdiam dan perkataan baik lebih utama daripada diam, kerana perkataan baik adalah harta (rampasan) perang dan diam adalah keselamatan dan harta (rampasan) adalah lebih utama daripada keselamatan .dan demikian pula mereka mengatakan: “Katakanlah kebaikan maka kamu akan mendapatkan harta banyak dan diamlah dari keburkan maka kamu akan selamat.

Gantikan Diam Dengan Senyuman

Pemurahnya setiap insan itu terkadang bukan terletak kepada nilai sen yang disedekahkan kepada yang memerlukan tetapi tetaplah dianggap pemurah jika berterusan menghambur puji dengan seikhlas mungkin.

Dalam kehidupan dan rutin kita seharian contohnya ketika bekerja dan berada di jalanan memberi ruang serta peluang kita menyemai pahala melalui pujian. 

Budaya biasa kita dalam menjalani kehidupan bermasyarakat didedahkan  dengan amalan kedekut menyebut kebaikan tetapi pemurah menyebut segala yang  negatif. Bermuhasabahlah segera.

Belajarlah memuji Allah bukan hanya semasa Allah beri nikmat yang kita minta. Sebaliknya lazimi perbuatan  sentiasa memujiNya sebab ia layak untuk kebesaranNya. Apabila kita tidak biasa berterima kasih sesama makhluk, ironinya kita akan hilang rasa syukur dengan Allah.

Budaya mendoakan kebaikan ini bukan tiada dalam masyarakat tetapi hanya sedikit yang mengamalkannya bahkan yang semakin berakar dalam masyarakat ialah kebiasaan memberi tanggapan yang buruk terhadap sesuatu perkara.

Di Turki contohnya, budaya menyapa serta memberi pujian adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan umum.

Menurut satu  pengkongsian dari Ustaz Hasrizal Jamil, masyarakat Turki akan memberi pujian kepada sesiapa sahaja yang ditemui waima kepada tukang sapu dengan mengucapkan “kolay gelsin” yang bermaksud moga urusanmu dimudahkan.

Apabila bertandang ke rumah sahabat atau menikmati hidangan di restoran, mereka akan mengucapkan “eline sağlik” yang bermaksud semoga tanganmu sihat. Ungkapan ini membawa erti semoga anda boleh memasak lagi sebagai cara menyantuni orang yang memasak untuk kita.

Orang Arab walapun kelihatan kasar pergaulan sesama mereka namun apabila bergaul masih membiasakan perkataan yang manis dan bermujamalah secara positif. 

Masyarakat Melayu kita tiada pernyataan khusus mahupun ucapan pemanis mulut sebagaimana dituturkan di Turki . Maka untuk ucapkan terima kasih secara spontan ianya menjadi perkara yang sukar walaupun nampak agak mudah. 

Ringankanlah mulut  membudayakan ucapan berterima kasih kepada orang. Jangan kedekut pujian tetapi jika berlaku sesuatu tidak menyebelahi kehendak kita,  mudahnya sekali kita mengkritik dan berbicara yang negatif hanya apabila sesuatu tidak menyebelahi kehendak kita. Seseorang yang kurang memuji, petanda dirinya sendiri tidak gembira.

Dari sudut kesihatan, didapati bahawa apabila manusia senyum, badan secara alami akan memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.

Secara tidak langsung ini akan menggelakkan tekanan darah yang tinggi ke otak. Selain itu apabila kita senyum kita hanya menggunakan 17 otot di muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.

Sabda Rasulullah SAW “Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah” (Hadis riwayat Tirmizi dan Abu Dzar)

Menurut perkongsian Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah dalam buku “Menerobos Sempadan Diri”, mengatakan bahawa, manusia yang senyum selama 10 saat di waktu pagi secara konsisten boleh mengeluarkan hormon gembira dinamakan endorphin, hormon kesihatan (encephalin), dan juga hormon yang mengeluarkan  tenaga (dynorphin). Tambah DHMFK lagi,  kelebihan senyum juga menjadikan individu tersebut lebih awet muda, badan sihat serta  bertambah rezeki.

Secara kesimpulan, Islam mendidik umatnya menjadi seeorang yang berakhlak dan mengutamakan adab berbahasa sesama manusia.

Walaupun tidak bersetuju dengan sesuatu perkara setiap kata yang diucapkan harus mendatangkan rasa selamat serta tidak mendatangkan kemarahan dan perselisihan faham antara dua pihak. Bertenang, diam dan susuli dengan senyuman.

Rujukan:

  1. Islamqa.info
  2. Facebook official Dato Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah



No comments:

Powered by Blogger.