Ads Top

Meninggal Dunia Tanpa Sempat Mengeluarkan Zakat

Telah banyak penerangan dan peringatan yang diceritakan tentang zakat. Jika dibayangkan ia umpama pemberat yang menyeimbangkan keperluan hidupan. Mana tidaknya, orang yang mampu berzakat akan mengeluarkan zakat dan akan dapat juga dirasai oleh orang yang dalam kesusahan dan memerlukan.

Zakat merupakan kewajipan yang tidak dapat dinafikan lagi, namun bagaimana pula jika seseorang itu meninggal dunia sebelum sempat menunaikan zakat. Adakah waris perlu membayar zakat daripada hartanya?

Dalam hal ini ulama berbeza pendapat sama ada seseorang itu masih perlu membayar zakat atau tidak.

Imam Abu Hanifah berpandangan bahawa apabila seseorang itu meninggal dunia, maka gugurlah kewajipan zakat ke atasnya, dia tidak perlu lagi membayar zakat, melainkan dia telah berwasiat supaya dikeluarkan zakat daripada harta yang telah ditinggalkan.

Walau bagaimanapun, para ulama dalam Mazhab Syafie serta jumhur ulama berpandangan bahawa seseorang yang meninggal dunia tanpa sempat untuk menunaikan zakat sedangkan dia mampu, maka dia berdosa dan wajib dikeluarkan zakat daripada harta yang ditinggalkan sebelum dibahagikan mengikut faraid.

Hal ini kerana, hukum membayar zakat adalah wajib secara segera apabila cukup syaratnya dan tidak boleh ditangguh-tangguh.

Itulah yang disebutkan juga oleh Imam Nawawi dalam Kitab Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab.

Justeru, setiap daripada kita tidak sepatutnya cuai dalam menguruskan harta. Jika sudah cukup syarat, maka tunaikanlah zakat. Anggaplah bahagian zakat itu bukan lagi harta milik kita tetapi adalah hak umat Islam lain yang memerlukan.

Rujukan:

  1. Mufti Wilayah Persekutuan



No comments:

Powered by Blogger.