Ads Top

Betulkah Malas Berselawat Tanda Kebakhilan?

Selawat merupakan salah satu perkara yang boleh dilakukan untuk mengingati Baginda SAW.

Ia bermaksud mendoakan atau memohon berkat kepada Allah SWT dan untuk meminta agar dilimpahkan rahmatNya untuk nabi dengan ucapan dan pengharapan; semoga Baginda sentiasa sejahtera.

Orang yang berselawat akan diberikan ganjaran yang luas olehNya. Semua yang ada di muka bumi ini berselawat ke atas Baginda dan sentiasa mengagungkannya.

Antara hikmah berselawat ialah dapat menambah kecintaan kepada Rasulullah dan ia dijadikan sebagai sedekah, iaitu dalam bentuk selawat. Bahkan, Allah akan berselawat ke atas orang yang berselawat ke atas nabi.

Ini adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

Mafhum: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad); wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah Al-Ahazab, 33:56)

Yang dimaksudkan dengan Allah berselawat ke atas kita adalah dengan diturunkan rahmat kepada manusia. Rahmat di sini adalah dalam bentuk kasih sayangNya kepada manusia.

Apabila kita mendengar orang berselawat atau mengucapkan nama Baginda SAW, kita dianjurkan untuk membalas selawat itu dengan turut mengucapkannya.

Ada sebuah hadis yang menyebutkan bahawa, jika seseorang yang tidak membalas ucapan selawat itu akan dianggap sebagai kedekut.

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Maksud: “Orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebutkan namaku, maka dia tidak berselawat ke atasku.”

Hadis ini telah diriwayatkan oleh sahabat Nabi SAW seperti Ali bin Abi Talib dan Abu Hurairah RA. Ia juga ada dinukilkan oleh Imam at-Tabarani dan Imam Ahmad.

Imam al-Syaukani menjawab bahawa hadis ini adalah masyhur dan Imam Al-Zurqani serta Imam Ibn Hibban meriwayatkan bahawa ia sebagai hadis sahih.

Justeru, dapat disimpulkan di sini bahawa hadis ini adalah sahih. Bakhil di sini membawa maksud orang yang kedekut dalam berselawat kepada Baginda.

Apabila mendengarkan nama nabi disebut, seseorang itu malas untuk turut berselawat. Inilah yang merugikan diri seseorang.

Jadi, janganlah kita menjadi orang yang kedekut dan malas dalam berselawat ke atas Baginda. Setiap selawat yang kita ucapkan pastinya akan mendapat seribu satu kebaikan terutamanya rahmat daripada Allah sendiri.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.