Ads Top

Benarkah Ganjaran Menahan Marah Adalah Memilih Bidadari

Pernah tak anda berada dalam situasi yang hampir meledak kemarahan ibarat gunung berapi yang tunggu saat untuk meletus sahaja.

Ada orang yang mungkin tahap sabarnya tinggi sehinggakan walau apa pun perkara yang menimpa, pasti akan dicuba untuk bersabar.

Tapi, tak semua orang mempunyai perangai yang sama. Ada yang sudah cuba menahan sabar, namun disebabkan amarahnya itu lagi tinggi, pasti ia akan meletus jua.

Ada orang yang memang mempunyai sifat panas baran. Jadi, walau sudah dicuba tahan, ia tetap akan meletus.

Buat yang tidak biasa, memang sukar untuk menahan amarah itu. Namun, ia boleh dicuba kerana setiap perkara dalam dunia ini boleh dilatih jika mahu.

Salah satunya adalah dengan sentiasa ingat bahawa di sebalik amarah yang tertahan itu, pasti adanya ganjaran yang Allah sediakan. Bezanya ialah ganjaran itu mungkin sesuatu yang tidak dilihat pada mata kasar, iaitu pahala.

Namun, ia boleh dirasai dengan hati kerana pasti akan ada ketenangan jika kita cuba menahannya. Dan mungkin kita boleh lihat kesannya apabila perbuatan itu mampu menahan diri daripada menyakiti hati orang.

Ada sebuah hadis yang menyebut bahawa salah satu ganjaran yang bakal diperoleh buat mereka yang berjaya menahan amarah ialah dengan memilih bidadari di syuga kelak.

مَنْ كَظَمَ غَيْظًا وَهُوَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يُنْفِذَهُ، دَعَاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى رُءُوسِ الْخَلَائِقِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُخَيِّرَهُ اللَّهُ مِنَ الْحُورِ الْعِينِ مَا شَاءَ

Maksud: “Barangsiapa yang menahan kemarahannya dalam keadaan dia mampu untuk melaksanakannya, maka Allah akan memanggilnya di hari akhirat kelak di hadapan makhluk-makhlukNya sehingga dia diberi pilihan oleh Allah untuk memilih mana-mana bidadari yang dikehendakinya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4777)

Hadis ini telah dinukilkan sahih oleh Syeikh Syu’aib al-Arnouth. Imam At-Tibi juga menyebut bahawa ia adalah sebagai pujian kepada orang yang mampu mengawal kemarahannya kerana marah itu merupakan nafsu yang boleh membawa kepada keburukan.

Sifat inilah yang dianggap sebagai sifat yang terpuji kerana ia bukan suatu perkara yang mudah untuk dilakukan.

Disebabkan itu ganjarannya adalah dengan membei pilihan buatnya untuk memilih mana-mana bidadari yang disukai.

Kesimpulan

Bukan mudah untuk mengawal amarah. Namun ia adalah suatu perkara yang boleh dilatih. Yang paling penting ialah anda mencuba memasukkan unsur sabar ke dalam diri anda.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.