Ads Top

Bagaimana Menyantuni Peminta Sedekah Yang Datang Ketika Anda Makan

Apabila kita pergi makan di mana-mana kedai makan, kebiasaannya ada sesetengah premis yang dimasuki oleh orang yang menjual tisu, kerepek dan macam-macam lagi.

Biasanya, mereka akan pergi dari meja ke meja untuk mempromosikan jualan itu. Ada juga peniaganya adalah dari kalangan yang kurang upaya seperti buta dan sebagainya.

Buat mereka yang menganggap dengan membeli apa yang dijual adalah untuk membantu mereka, itu adalah perkara biasa.

Namun, ada juga yang tidak selesa dengan perkara itu. Baginya, itu sudah dikira mengganggu waktu makan atau waktu rehat yang diperuntukkan.

Malah, ada juga yang tidak menjual apa-apa pun, namun sekadar datang ke meja makan anda untuk meminta wang atau sedekah.

Sama ada ia adalah jenis sindiket pengemis yang menipu mata kita atau yang benar-benar mencari rezeki dengan cara itu, ia adalah perkara yang tetap tidak menyenangkan jika dilakukan secara paksa.

Kalau dilihat pada komen warga net pula, rata-rata alasan tidak senang dengan perkara tersebut ialah kerana sikap mereka yang suka memaksa. Selagi tidak dibeli atau diberi wang, selagi itulah mereka tidak akan berganjak.

Bagaimana Perlu Melayani Mereka

Kalau bercakap soal perasaan, pastinya ada rasa bercampur baur. Ada yang membeli sebab kesian. Tapi ada yang tidak suka dan cenderung untuk menghalau mereka.

Kita tahu, memberi sedekah itu adalah perkara yang baik. Bahkan, tangan yang memberi itu adalah lebih baik daripada yang menerima.

Sebenarnya boleh sahaja berbicara dengan mereka secara baik. Bahasa yang digunakan itu janganlah sehingga mengherdik dan menyinggung perasaan mereka.

Sebab mereka juga adalah manusia biasa yang sama seperti kita, mempunyai perasaan dan hati. Bayangkan, jika ada orang yang mengherdik anda di khalayak umum seperti itu, apa agaknya perasaan anda?

Jadi, tolaklah secara baik. Begitu juga dengan tuan kedai sendiri. Jika tidak ingin peminta sedekah atau penjual masuk ke kawasan premis anda, beritahulah secara elok-elok.

Islam tidak marah jika anda ingin menghalang mereka bagi menjaga hak dan keselesaan pelanggan, namun Islam tegah perbuatan menyakiti perasaan orang lain.

 قَوْلٌ مَّعْرُوفٌ وَمَغْفِرَةٌ خَيْرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتْبَعُهَا أَذًى ۗ وَاللَّـهُ غَنِيٌّ حَلِيمٌ

Mafhum: “(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.” (Surah Al-Baqarah, 2:263)

Kesimpulan

Kalau kita lihat, orang Malaysia ini terlalu baik. Mereka sangat suka memberi sehinggakan kegiatan ini berleluasa dan meminta sedekah pula dijadikan sebagai kerjaya.

Kalau boleh memberi, maka berilah sekadar mampu. Tapi kalau tak boleh, maka jangan sehingga mengherdik dan menyakiti orang lain.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.