Sahkah Solat Jika Tersilap Menunaikannya Sebelum Masuk Waktu
Solat wajib perlu ditunaikan dalam waktunya. Apabila masuknya azan bagi sesuatu solat, maka dia perlu menunaikan solat tersebut. Bukannya azan waktu Asar tetapi baru sahaja meniatkan untuk menunaikan solat Zohor.
Afdal untuk menunaikan solat di awal waktu. Jika tiada kekangan yang menghalang, bolehlah bersegera untuk menunaikan solat sejurus azan selesai dan selepas melakukan solat sunat ba’diyyah (sebelum) fardu. Namun, jika ada pekerjaan yang menghalang seperti mesyuarat atau waktu rehat yang lambat lagi, maka boleh sahaja menunaikan solat apabila ada kelapangan.
Bagaimanapun, ada sesetengah situasi di mana seseorang tersilap menunaikan solat sebelum masuk waktunya. Hal ini mungkin disebabkan oleh azan yang tidak kedengaran atau jam yang salah. Jadi, jika berada dalam situasi ini, apa yang perlu dilakukan?
#1 – Pertama, kita perlu faham bahawa solat yang ditunaikan sebelum waktu itu adalah tidak sah. Hal ini kerana, waktu bagi solat tersebut belum masuk. Jadi, wajib ke atas muslim tersebut untuk mengulangi kembali solat tersebut.
Maksud: “Apabila ternyata solat seseorang berlaku sebelum masuk waktu, solatnya dianggap batal dan wajib mengulanginya sama ada dia berpegang kepada keyakinannya, ijtihadnya atau taqlid.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji, 1/276)
#2 – Yang kedua, kita kena lihat bagaimana cara untuk menggantikannya. Jika solat itu sekali sahaja tersilap waktunya, maka ia boleh digantikan sekali juga. Sama ada pada waktu Subuh hari yang sama atau hari lain. Namun, sebaiknya digantikan dengan segera.
Namun, jika sudah beberapa hari tersilap menunaikan solat Subuh sebelum waktunya, maka jumhur ulama berpendapat bahawa cukuplah menggantikannya sekali sahaja pada waktunya.
Hal ini kerana kesilapan itu adalah kesilapan yang tidak disengajakan setelah berijtihad dan berusaha untuk mengetahui waktu yang sebenar. Namun, disebabkan masalah teknikal yang berlaku, kesilapan itu wujud.
Syeikh Syahuddin al-Ramli berkata – “Al-Barizi ditanya tentang seorang lelaki yang berada dalam situasi selama 20 tahun tersilap dalam penentuan fajar kemudian solat (Subuh ketika fajar kazib), kemudian ternyata kepadanya akan kesilapan itu; maka apakah dia wajib menggantkan (solat-solat Subuhnya yang lalu)? Maka, al-Barizi menjawab tidak wajib ke atasnya melainkan sekali sahaja solat gantinya kerana solatnya setiap hari adalah ganti pada solat bagi hari-hari sebelum.” (Fatwa Imam Al-Barizi)
Kesimpulan
Tersilap menunaikan solat sebelum waktunya adalah kesilapan yang tidak dapat dielakkan jika diri sendiri telah berusaha dan berijtihad untuk mengetahui waktu yang sebenar.
Tetapi solatnya itu adalah batal dan wajib ke atasnya untuk mengulanginya kembali.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
No comments: