Dah 6 Bulan Berpacaran, Zara Zya Kunci Mulut Identiti Kekasih
Pelakon Zara Zya kini mengambil pendekatan untuk lebih ‘low profile’ tentang hubungan cinta terbaharunya yang semakin mekar sejak berkenalan lebih enam bulan lalu.
Mengakui kini sedang bahagia dengan seorang jejaka yang enggan didedahkan identitinya, Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 35, berkata kekasihnya itu merupakan seorang yang sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan terhadap apa yang dilakukan oleh aktres tersebut.
“Sekarang memang saya tengah mengenali seseorang tetapi untuk saya ceritakan pasal kahwin atau hubungan kami buat setakat ini, biarlah rahsia dahulu. Sekarang saya nak fokus pada perniagaan terlebih dahulu.
“Orang dah tahu yang saya dah berpunya, cukuplah itu pada saya. Saya tak nak jadi macam dulu-dulu, jadi lebih baik saya rahsiakan hubungan baharu ini. Bukan serik tapi sekarang ini saya rasa lebih selesa begini.
“Sejujurnya, sekarang ini bayangan nak kahwin pun belum ada, kalau dah sedia nak kahwin kami akan terus buat, bukan nak sembunyi cuma itulah sekarang tak berani lagi nak cakap,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Zara ditemui pada majlis pelancaran restoran miliknya, ZaraZyaCooks di Setia Alam, Selangor semalam.
Bercakap mengenai perniagaannya itu, Zara berkata walaupun ini merupakan pelaburan ketiganya dalam industri food & beverage (F&B), namun ia sama sekali tidak mematahkan semangatnya.
“Sebelum ini saya meniaga tapi tiada asas-asas serta ilmu yang diperlukan untuk memastikan perniagaan itu terus bertahan. Kali ini saya dah persiapkan diri saya.
“Kalau cuti daripada penggambaran, memang saya sendiri akan turun sama-sama membantu melancarkan operasi restoran. Ada masa saya sendiri yang akan masak pesanan daripada pelanggan.
“Dia (teman lelaki) juga sangat menyokong dan memberikan nasihat serta tunjuk ajar dalam bidang ini, antara pesanannya jangan mudah putus asa dan kalau ada yang mengkritik atau cuba menjatuhkan, abaikan sahaja.
“Dia juga turut menyokong karier saya sebagai pelakon, walaupun dia tiada kaitan dalam bidang seni, namun dia terbuka dengan banyak perkara,” ujarnya lagi.
ZaraZyaCooks yang menyediakan pelbagai hidangan istimewa termasuk sup belut dan nasi goreng kambing bakar beroperasi setiap hari bemula jam 12.30 tengah hari sehingga 11.30 malam.
Bangunan restoran dua tingkat itu turut menyediakan ruang acara, ZaraZya Sky Lounge (ZSL) yang dibuka dari jam 6 petang hingga 1 pagi setiap hari. – KopiPlanet.com
The post Dah 6 Bulan Berpacaran, Zara Zya Kunci Mulut Identiti Kekasih appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: