Relevankah Hiburan Yang Berbentuk Prank
Istilah prank sejak akhir-akhir ini menjadi sebuah istilah yang trending disebabkan oleh beberapa perbuatan yang ditularkan di media sosial.
Kalau kita lihat prank atau usikan ini bukanlah suatu perkara yang baru. Ia sudah lama sebenarnya, cuma mungkin cara dan kesannya yang berbeza.
Kalau dulu, kita sekadar mengusik manja kawan sekelas kita. Contohnya, menarik kerusinya tanpa disedari apabila dia ingin duduk. Jadi, kesan jangka pendeknya ialah kawan kita akan terjatuh.
Mungkin terjadilah perbalahan sedikit sebab malu dan geram dengan perbuatan itu. Yang akan gelak kerana geli hati ialah anda sendiri dan mungkin juga beberapa kawan sekelas lain yang turut menyaksikan kejadian tersebut. Kemudian, peristiwa itu terhenti di situ dan dilupakan.
Kalau dilihat pada kesan jangka panjang pula, kita boleh tengok sama ada mangsa tersebut akan mengalami kecederaan atau tidak. Jika cedera, itulah yang akan menjadi permasalahan besar kerana boleh memberi kesan fizikal. Ada yang bernasib baik dan ada juga yang tidak. Bergantung kepada sejauh mana usikan itu berlaku.
Namun, hari ini situasinya lain pula. Orang kita mengusik bukan lagi kepada fizikal tetapi lebih kepada emosi.
Ada yang usikannya dilihat manja, namun apabila ditularkan di media sosial dan menimbulkan kecaman daripada warga net, itulah yang boleh memberikan kesan jangka panjang kepada mangsa. Bukan kesan fizikal semata-mata, namun lebih kepada emosi yang lagi membimbangkan.
Terutamanya apabila kita melihat kepada dunia hari ini, kesihatan emosi yang sangat membimbangkan ini sebenarnya datang daripada perkara-perkara yang sebegini juga.
Mengapa Perlu Prank
Apa yang membuatkan seseorang nak mengusik? Adakah disebabkan hiburan semata-mata? Ya, kalau dilihat pada contoh situasi pertama, ia adalah sekadar hiburan. Malah, kebanyakan matlamat usikan ini adalah untuk menghiburkan.
Tetapi, ada juga yang mengatakan bahawa mereka ingin menguji kesetiaan seseorang, ada yang ingin menilai common sense manusia dan sebagainya.
Berbagai jenis tujuan utama yang dinilai. Ada juga yang melakukannya sebagai ujian kerana tugasan kelas dan sebagainya. Tetapi, kali ini tujuan tersebut tidak akan disentuh dengan lebih lanjut. Kita ingin melihat kepada tujuan yang dilakukan secara suka-suka ini.
Kalau melihat kepada hiburan, banyak lagi hiburan yang ada di dunia ini, mengapa memilih untuk menyakiti atau memalukan perasaan kawan sendiri?
Yang paling memalukan ialah perbuatan itu dilakukan kepada orang yang tidak dikenali. Walaupun apabila dimuat naik ke dalam media sosial dengan wajahnya yang dikaburkan, namun itu juga sebagai suatu hal yang boleh memalukan kerana rakan terdekat atau ahli keluarga pasti boleh mengenali.
Sungguhpun mereka yang terlibat sudah memberikan persetujuan untuk dimuat naik ke media sosial pada awalnya, pihak yang memuat naik masih kelihatan tidak beretika dan tidak sensitif lebih-lebih lagi jika gurauan tersebut boleh menjatuhkan air muka dan mengundang fitnah.
Apa Kata Islam
Bukankah muslim yang baik ialah yang sentiasa memberi manfaat kepada orang sekelilingnya? Jadi, mengapa ingin melakukan perkara yang tidak berfaedah semata-mata kepentingan diri sendiri sama ada untuk hiburan atau menaikkan capaian views di YouTube dan sebagainya?
Maksud: “Seorang muslim (yang sempurna Islamnya) ialah (apabila) seorang muslim (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya, manakala seorang muhajir (yang berhijrah) adalah seorang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 10)
Seterusnya, jika dinyatakan alasannya untuk melihat kesetiaan pasangan atau kejujuran seseorang, kenapa tidak ditanya secara terus atau gunakan cara yang lebih baik? Bukankah Allah memberikan seribu satu penyelesaian kepada setiap permasalahan yang dialami. Tinggal kita sahaja untuk memilih cara mana yang sesuai untuk digunakan.
Allah juga melarang hambaNya bergurau dengan gurauan yang melampaui batas sehingga boleh menimbulkan kecederaan sama ada kepada fizikal, emosi mahupun mental.
Berpada-pada dalam setiap perbuatan termasuklah hiburan dan gurauan. Itu adalah hak dan adab kepada sesama muslim agar dapat menjaga keharmonian dan kedamaian dalam pergaulan.
Maksud: “Berikanlah bicaramu itu dengan sedikit gurauan, sekadar diberikan pada makanan itu garamnya yang cukup.” (Pepatah Arab)
Seharusnya, kita menitikberatkan perkara ini agar ia tidak mengundang kepada masalah yang lebih besar terutamanya yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar seperti masalah mental dan penyakit hati, iaitu dendam dan sebagainya.
Kalau dilihat pada anjuran Islam lagi, Allah melarang manusia untuk mencari dan menyebarkan aib seseorang. Setiap orang punya aibnya yang sendiri. Setiap orang penuh dengan dosa dan perkara yang pastinya ingin disimpan sendiri kerana malu jika orang tahu.
Dengan sebab itu, Allah menjaga aib setiap dari kita agar hati dan mental kita tidak mudah lemah dengan perkara tersebut.
Namun, adilkah kita apabila kita pula yang berusaha untuk membuka aib orang lain. Mencari aib dan menyebarkannya kepada manusia lain merupakan sebuah perkara yang dilarang.
Maksud: “Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (Hadis Riwayat Imam Tirmizi, no. 2032)
Bahkan, banyak kesan negatif yang boleh berlaku terutamanya boleh menimbulkan kemurungan atau keaiban yang mendalam kepada mangsa sehingga kurang keyakinan diri dan sebagainya.
Disebabkan itu manusia diajar untuk melindungi antara satu sama lain dengan menjaga aib diri sendiri dan menyimpan rahsia orang lain.
Kesimpulan
Mungkin ada yang merasakan usikan tersebut sekadar gurauan yang boleh diterima. Tapi, manusia itu tidak sama pemikirannya. Ada yang boleh menerimanya dan ada juga yang tidak.
Sekiranya yang dikenakan usikan itu setuju untuk menyebarkannya di media sosial sebagai pengajaran kepada semua, maka itu adalah bergantung kepada budi bicara kedua belah pihak.
Tetapi saranannya di sini ialah, elakkan daripada terjebak dengan perkara-perkara yang sedemikian. Masih banyak lagi perkara lain yang boleh disebarkan untuk memberi faedah kepada semua orang.
Melihat kepada jawapan yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah juga, ia adalah dilarang sekiranya melanggar syariah dan menjatuhkan maruah seseorang serta boleh menimbulkan perkara yang tidak diingini.
Oleh itu, berpada-padalah dalam berbuat sesuatu kerana ia bukan sahaja boleh memberi kesan di dunia, tetapi juga di akhirat.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
No comments: