Ads Top

Bersederhana Dalam Beribadah

“Aku penatlah solat Tahajjud 12 rakaat setiap malam. Nak berhenti je boleh tak?”

Kalau kita dengar perbualan tersebut, separuh daripada perasaan kita pasti rasa tabik dan hormat kerana dia berjaya menunaikan solat Tahajud sebanyak 12 rakaat. Jika nak dibandingkan dengan diri sendiri, nak bangun solat Tahajud pun dah lemau apatah lagi menunaikannya dengan bilangan rakaat yang sebegitu banyak.

Tetapi, separuh dari hati kita pasti tertanya kenapa dia ingin berhenti daripada melakukan ibadah tersebut sedangkan ia adalah amalan yang mulia dan sangat dituntut untuk dilakukan.

Jawapan kepada persoalan itu banyak, sama ada pada awalnya dia melakukannya secara terpaksa atau mungkin juga kerana ingin mendapat perhatian daripada seseorang. Alasan lain yang mungkin juga wujud ialah kerana dia melakukannya secara drastik sedangkan ia tidak pernah dilakukan sebelum ini. Jawapan-jawapan itu, hanyak si pelaku sahaja yang tahu kenapa.

Tetapi, kita ambil satu situasi, jika benar dia melakukan ibadah tersebut secara drastik, ia mungkin boleh menjadi salah satu sebab yang betul mengapa seseorang itu sudah penat dengan amalan tersebut.

Kenapa? Sebab Islam mengajar kita untuk melakukan amalan secara sedikit tetapi berterusan, itu yang lebih baik berbanding amalan yang banyak tetapi sekejap-sekejap.

Apabila kita tidak terbiasa dengan amalan tersebut, pastinya ia belum menjadi amalan yang sebati dengan diri sendiri. Seperti seorang yang tidak biasa minum kopi, tetapi pada suatu hari dia minum tiga gelas kopi. Akhirnya kafein itu boleh memberi sebab kepada masalah yang lebih teruk seperti tidak boleh tidur pada malam hari atau rasa pening yang melampau.

Tidak salah melakukan ibadah secara banyak, sama ada solat Tahajud 12 rakaat, membaca satu juzuk Al-Quran setiap hari dan pelbagai lagi. Ia adalah amalan yang baik untuk diamalkan.

Kisah Sahabat Yang Dinasihati Supaya Melakukan Ibadah Sedikit Demi Sedikit

Tetapi, kalau istiqamah kan lebih baik. Amalan itu lebih baik dilakukan secara sederhana dan berterusan. Sebagaimana ada sebuah kisah yang menceritakan mengenai seorang sahabat yang dinasihati Rasulullah untuk melakukan amalan sedikit demi sedikit;

Maksud: “Dari Hanzholah Al-Usayyidiy, ia berkata: “Abu Bakar pernah menemuiku lalu dia bertanya kepadaku: “Bagaimana keadaanmu wahai Hanzalah?” Aku menjawab: “Hanzalah kini telah menjadi munafik.” Abu Bakar berkata; “Subhanallah, apa yang engkau katakan?” Aku menjawab: “Kami jika berada di sisi Rasulullah SAW, kami teringat neraka dan syurga seperti kami melihatnya. Namun, apabila kami keluar dari majlis Rasulullah dan kami bergaul dengan isteri dan anak-anak kami, sibuk dengan pelbagai urusan, kami pun menjadi lupa.” Abu Bakar kemudian menjawab; “Kami juga begitu.”

Kemudian, aku dan Abu Bakar pergi menghadap Rasulullah SAW, lalu menceritakan perkara tersebut kepada Baginda. Baginda lalu bersabda: “Demi Rabb yang jiwaku berada di tanganNya. Seandainya kalian mahu berterusan dalam beramal sebagaimana keadaan kalian ketika di sisiku dan terus mengingatinya, maka nescaya para malaikat akan menjabat tangan kalian di tempat tidurmu dan di jalan. Namun, Hanzalah, lakukanlah sesaat demi sesaat.” Baginda mengulanginya sehingga tiga kali.”(Hadis Riwayat Muslim, no. 2750)

Beribadah Jangan Sehingga Melampau

Sebenarnya ramai lagi orang yang keterlaluan dalam beribadah. Mereka terlalu taksub sehingga mengabaikan hak yang lain. Contohnya, keluar berdakwah selama beberapa minggu lamanya hingga mengabaikan tanggungjawab kepada isteri dan keluarga. Perkara inilah yang ditegah.

Kita masih punya hak kepada diri sendiri dan sekeliling yang perlu ditunaikan. Kesihatan diri perlu dijaga, mengambil berat akan hal sekeliling itu juga perlu dan pelbagai lagi perkara yang perlu diseimbangkan.

Maksud: “Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan tewas.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 39)

Agama itu mudah sahaja, jangan pula kita menjadi seseorang yang memberatkan sesuatu sedangkan Allah melarangnya. Jika tidak mampu, kita boleh pilih untuk melakukan amalan yang ringan. Jika belum sebati dengan diri sendiri, kita boleh berjinak-jinak dahulu dengan memulakan perkara sedikit demi sedikit.

Justeru, jika merasa lelah dalam ibadah, jangan terus berhenti. Berehat sejanak dan ambil langkah yang baru. Mulakan sedikit demi sedikit agar amalan itu tidak terus hilag dari diri kita. Yang paling penting ialah berserdahana kerana Allah suka akan mereka yang tidak melampau dalam setiap perkara.

Rujukan:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.