Ads Top

Pernah Meniru Dalam Peperiksaan – Apa Yang Perlu Dilakukan

Ada sebuah pepatah Arab yang menyebut – “Sesiapa yang menanam, maka dia akan menuai hasilnya kelak.”

Melalui pepatah ini, kita dapat memahami maksud yang ingin disampaikan, iaitu setiap hasil yang kita akan peroleh suatu hari nanti adalah bergantung kepada apa yang kita lakukan hari ini.

Jika anda menginginkan anak yang soleh, maka anda sendiri yang perlu bermula untuk menjadi seorang yang soleh.

Jika anda ingin tubuh badan yang sihat dan umur yang panjang, anda sendiri yang perlu berusaha untuk menjaga gaya hidup dan pemakanan.

Pendek kata, langkah yang paling asas adalah bermula daripada dalam diri anda. Kemudian, barulah anda boleh melihat dan menjadikan sekeliling sebagai baja untuk menuai hasil yang diingini.

Hal ini sama dengan situasi jika anda pernah meniru dalam peperiksaan. Atau mungkin juga sedang berniat untuk meniru rakan-rakan anda untuk peperiksaan yang bakal berlangsung kelak.

Ada yang mengatakan bahawa – hasil daripada perbuatan meniru tersebut adalah tidak berkat. Bayangkan, anda berjaya mendapat keputusan yang cemerlang hasil daripada peniruan tersebut.

Kemudian, anda berjaya masuk ke universiti yang terkemuka di Malaysia. Seterusnya, anda berjaya mendapatkan kerja dan ditawarkan gaji yang besar.

Jika diimbas kembali, semuanya adalah bermula daripada hasil peniruan tersebut. Berkatkah kehidupan anda waktu itu? Bagaimana dengan ilmu yang anda peroleh sepanjang berada di universiti?

Syeikh Ibnu Bas menjawab – “Tidak mengapa soal gaji atau ilmunya. Ia adalah perkara yang sudah berlalu. Terutamanya jika dia waktu itu sedang berada dalam keadaan terdesak. Namun, ia mempunyai kewajipan untuk bertaubat kerana telah berlaku curang (menipu) dalam ujian.

Soal pekerjaannya sekarang juga tidak menjadi masalah. Namun, dosanya itu tetap dibawa selagi ia tidak bertaubat. Maka, kewajipannya adalah dengan melakukan taubat kepada Allah di atas perbuatan tersebut.” (Majmu’ Fatawa Ibnu Baz, 31:19)

Perlu Diiringi Dengan Taubat

Jika sudah terlanjur melakukan penipuan dalam peperiksaan, hal itu merupakan perkara yang telah lepas dan tidak dapat diputar kembali.

Yang paling penting ialah menyesali perbuatan tersebut dengan diiringi perasaan ingin bertaubat serta berjanji untuk tidak mengulanginya lagi.

Jika diberi keberanian atau masih lagi berhubung dengan rakan yang pernah kita tiru, boleh juga mengambil inisiatif dengan meminta maaf secara terus kepadanya.

Jika masih lagi risau sama ada gaji atau ilmu yang diperoleh itu tidak berkat – cuba untuk tenangkan hati dengan istighfar dan sentiasa berzikir.

Kerana soal keberkatan itu adalah urusan Allah. Sekurang-kurangnya kita telah melakukan tugas kita sebagai pendosa dengan bertaubat.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.