Nabi SAW Larang Mentertawakan Orang Yang Kentut
Kentut merupakan gas usus yang berasal daripada pelbagai sumber seperti melalui udara yang disedut, gas yang merembes pada usus dari darah, gas terhasil dari tindak balas kimia dalam usus dan gas yang terhasil dari bakteria dalam usus.
Kentut terhasil dari pembebasan gas yang dihasilkan oleh bakteria pada saluran usus yang lebih rendah.
Tindak balas tubuh kepada gas ini adalah berbeza-beza. Inilah yang akan memberi kesan kepada bau dan bunyi kentut itu sendiri. Ada orang yang kentut dengan bunyi yang sangat kuat dan ada juga yang kentut dengan bau yang sangat busuk.
Semua orang akan mengalami kentut. Hal ini kerana, gas yang berada dalam usus manusia perlulah dilepaskan untuk mengelakkan penyakit yang berat terutamanya kepada perut dan usus.
Jadi, apabila terdengar ada orang yang kentut, janganlah mentertawakan mereka. Hal ini kerana, ia boleh memalukan seseorang.
Mungkin, perbuatan kentut dengan bunyi yang kuat atau bau yang busuk itu adalah tidak disengajakan dan tidak dapat dielakkan pada waktu itu.
Justeru, jangan menjatuhkan maruah mereka dengan mentertawakan perbuatan tersebut. Bahkan, dalam hadis ada menyebut bahawa ia adalah perbuatan pada zaman jahiliyah.
Al-Mubarakfuri ada menjelaskan – “Dulu mereka (para sahabat) di masa jahiliyah, apabila ada salah satu peserta majlis yang kentut, mereka akan tertawa. Kemudian, Baginda melarang perbuatan tersebut.” (Tuhfatul Ahwadzi, 9/189)
Dalam hadis lain juga ada menyebut, melalui Abdullah bin Zam’ah RA menceritakan – Rasulullah SAW ketika menyampaikan khutbah berkenaan kisah unta Nabi Saleh yang disembelih kaumnya yang membangkang. Baginda juga mentafsirkan surah As-Syams, menasihati untuk berlembut dengan wanita dan tidak boleh memukulnya.
Dalam khutbah tersebut, Baginda juga menasihati sikap sahabat yang ketawa apabila mendengar ada orang yang kentut.
إِلَامَ يَضْحَكُ أَحَدُكُمْ مِمَّا يَفْعَلُ؟
Maksud: “Mengapa kalian mentertawakan kentut yang kalian juga biasa melakukannya?” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 4942)
Dalam riwayat ini disebutkan bahawa larangan mentertawakan mereka yang kentut itu adalah disebabkan ia adalah kebiasaan yang juga dilakukan oleh anda.
Jadi, mengapa perlu mengejek dan mengetawakan mereka yang kentut, sedangkan suatu masa nanti anda juga mungkin terlepas kentut di khalayak ramai.
Justeru, apabila ada orang yang kentut atau tiba-tiba terbau bauan yang tidak menyenangkan, maka abaikan sahaja situasi itu. Jangan diejek si pelakunya walau anda tidak tahu siapa yang mengeluarkan gas itu.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Konsultasi Syariah
No comments: