5 Perkara Boleh Menghapuskan Dosa Selain Taubat
Seorang manusia tidak akan sunyi daripada melakukan dosa. Namun, sebaik-baik seorang pendosa adalah mereka yang melakukan taubat.
Antara syarat-syarat taubat ialah menghindari dosa tersebut, menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan, memohon keampunan sejujurnya kepada Allah dan berazam tidak mahu mengulanginya lagi. Selain itu, sebenarnya ada beberapa amalan yang lain yang juga boleh menghapus dosa yang sudah dilakukan.
#1- Menyempurnakan Wuduk
“Dari Abu Hurairah r.anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwuduk maka setelah ia membasuh wajahnya keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir.
Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya setiap dosa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kedua belah kakinya, keluarlah dari kedua kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwuduk ia bersih dari dosa-dosanya”. (HR Muslim, no.360)
#2- Solat Jemaah Di Masjid
“Dari Abu Hurairah r.anhu berkata: Rasulullah SAW bersabda: Mahukah aku tunjukkan kepada kamu beberapa perkara yang dengannya Allah akan menghapuskan dosa-dosa dan mengangkat darjat kamu?
Mereka menjawab: Mahu wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Iaitu menyempurnakan wuduk walau dalam keadaan susah (seperti dalam keadaan sakit atau terlalu sejuk), sering berjalan ke masjid (solat jemaah) dan menunggu solat setelah selesai menunaikan solat. Yang demikian itu adalah ribat (jihad/perjuangan), yang demikian itu ribat, yang demikian itu ribat”. (HR Muslim, no. 251)
#3- Berzikir Dengan Zikir Ini Selepas Solat
Daripada Abu Hurairah ra, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :
مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِى دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ فَتِلْكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ
Maksudnya: “Sesiapa yang bertasbih pada setiap kali selepas solat sebanyak 33 kali, bertahmid sebanyak 33 kali dan bertakbir sebanyak 33 kali. Kesemuanya adalah sebanyak 99 kali.
Ketika mana sampai ke kali yang ke-100 dia mengucapkan: الْمِائَةِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ maka diampunkan kesalahannya walaupun dosa tersebut sebanyak buih di lautan.” (Riwayat Muslim, no. 1380)
#4- Mengaminkan Bacaan Al-Fatihah Di Dalam Solat Berjemaah
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا قَالَ أَحَدُكُمْ آمِينَ. َوفِي رِوَايَةِ عِنْدَ مُسْلِمٍ: فِى الصَّلاَةِ وَقَالَتِ الْمَلاَئِكَةُ
Maksudnya: “Apabila seseorang di kalangan kamu mengucapkan Amin. Riwayat Muslim menyebut ketika bersolat, para malaikat di langit juga mengucapkan Amin. Jika bertepatan kedua-duanya, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.” (Riwayat al-Bukhari, no.748 dan Muslim, no. 410)
#5- Sedekah
“…Puasa itu perisai. Sedekah memadam dosa sepertimana air memadam api.” (Riwayat al-Tirmizi, no.2616, al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra, no. 11394 dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, no. 103)
Al-Mubarakfuri memberi penerangan bahawa ungkapan “وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ” (sedekah memadam dosa sepertimana air memadam api) bermaksud menghilangkannya dan menghapuskan kesannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/237)
Allah tahu kita adalah makhluk yang lemah dan leka yang sering tersilap. Justeru Dia menyediakan berbagai cara sebenarnya untuk hamba-hambaNya menghapus semula dosa.
Rasulullah SAW bersabda,
اتق الله حيثما كنت ، وأتبع السيئة الحسنة تمحها، وخالق الناس بخلق حسن
“Bertakwalah kepada Allah di manapun anda berada. Iringilah perbuatan dosa dengan amal kebaikan, kerana kebaikan itu dapat menghapusnya. Serta bergaulah dengan orang lain dengan akhlak yang baik” (HR. Ahmad, no.21354, Tirmidzi, no.1987 – ia berkata: hadis ini hasan sahih)
No comments: