Perlukah Ganti Puasa Buat Pelajar Yang Pulang Dari Negara Yang Lewat Sehari Puasanya
Rata-rata pelajar yang belajar di luar negara mahupun individu yang bekerja di negara lain mengambil peluang untuk pulang ke Malaysia atau kampung halaman masing-masing bagi meraikan Syawal bersama yang tersayang.
Ada juga mungkin yang disebabkan oleh telah tamatnya tempoh belajar atau selesai proses pertukaran pelajar dan sebagainya.
Adapun, kita mengetahui bahawa zon waktu di setiap negara adalah tidak sama. Ada yang lewat sejam, ada yang lewat dua jam dan ada juga yang lewat sehari.
Sebagai contoh, kita melihat Malaysia memulakan puasa lebih awal sehari berbanding dengan negara Brunei. Ia adalah disebabkan kitaran masa yang berbeza.
Dalam situasi ini, mungkin ada yang tertanya, perlukah para pelajar dan umat Islam yang pulang ke kampung halaman ini menggantikan puasa mereka apabila berlakunya faktor seperti situasi di atas?
Dalam hal ini, jumhur ulama menyebut bahawa waktu berbuka dan hari Raya seseorang itu bergantung kepada penentuan masa di tempat yang sedang didudukinya.
Maka, jika anda pulang ke Malaysia sebelum sempat berpuasa secara penuh (sebagai contoh, tahun ini umat Islam berpuasa selama 29 hari) maka, wajib ke atas anda untuk mengikut waktu di tempat tersebut.
Jika ia sudah bermula Syawal, maka wajib ke atas anda untuk meraikan Syawal juga walaupun pada tempat asal di mana anda mula berpuasa, penduduk di sana masih lagi berpuasa kerana Syawal mereka pastinya lewat sehari.
Dalam hal ini, fatwa menyebut bahawa wajib ke atas anda untuk mengqada’ bilangan puasa yang tidak cukup pada hari yang lain.
Haram ke atas anda meneruskan puasa pada 1 Syawal semata-mata mengikut tempat awal anda memulakan puasa kerana tarikh 1 Syawal ialah tarikh yang diharamkan puasa.
Dalam hal ini, anda boleh merujuk berapa hari umat Islam berpuasa pada tahun itu dan menggantikannya.
Sama juga jika anda berpuasa lebih sehari – sebagai contoh anda memulakan puasa Ramadan di United Kingdom dan pulang ke Malaysia bagi meraikan Syawal.
Walaupun puasa anda lebih 30 hari kerana United Kingdom memulakan puasanya lebih awal (dan sudah beraya) namun, anda wajib mengikut waktu di tempat keberadaan anda, iaitu Malaysia. Anda tidak boleh berbuka dan beraya selagi Malaysia belum menampakkan anak bulannya walaupun puasa anda sudah lebih sehari.
Dalam hal ini, Syeikh Abdul Aziz bin Baaz telah menjawab;
Maksud: “Jika anda memulakan puasa di Saudi atau tempat-tempat lain dan anda meneruskan puasa seterusnya di tempat asal anda, berbuka puasa apabila mereka berbuka walaupun anda telah berpuasa lebih dari 30 hari, kerana Baginda SAW telah bersabda:
“Puasa bermula pada hari anda berpuasa dan berbuka puasa bermula pada hari anda berbuka puasa.”
Akan tetapi, jika anda tidak mencukupi 29 hari di dalam bulan tersebut. maka anda hendaklah mencukupkannya (qada) kerana 1 bulan tidak boleh kurang daripada 29 hari.” (Majmu’ Fatawa Ibn Baaz, 15/155)
Kesimpulan
Melalui mazhab Syafi’e, penentuan masuknya bulan Ramadan atau Syawal adalah berdasarkan anak bulan yang kelihatan di negara yang mempunyai matla’ (negara yang berkongsi waktu siang dan malam) yang sama.
Tuntasnya, kita wajib mengikut hasil cerapan anak bulan di tempat yang kita berada bagi menentukan Syawal dan Ramadan.
Wajib juga ke atas individu yang tidak cukup harinya berpuasa disebabkan faktor di atas untuk mengqada puasa mereka.
Wallahu ‘alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
No comments: