Ads Top

6 Rahsia Mengapa Dianjurkan Berpuasa 6 Hari Di Bulan Syawal

Jika pelengkap solat fardhu adalah solat sunat, maka pelengkap puasa Ramadan adalah puasa enam hari di bulan Syawal.

Jika ganjaran bagi yang beramal di malam lailatul Qadar adalah lebih baik daripada 1000 bulan, maka ganjaran bagi yang berpuasa di bulan Ramadan dan Syawal adalah berpuasa sepanjang tahun!

Daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim, no. 1164)

Pemurahnya Allah kerana telah menyediakan bagi kita begitu banyak peluang untuk berpahala – ganjaran berganda di bulan Ramadan, lailatul Qadar, syafaat bagi orang yang bersahabat dengan Al-Quran, ganjaran solat malam, ganjaran puasa dan bermacam-macam jenis lubuk pahala lagi. Kini ada pula ganjaran berpuasa sunat di bulan Syawal.

Jika ada yang masih tertanya-tanya mengapa perlu berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal, maka ini antara hikmah yang terkandung di sebaliknya.

#1- Ganjaran Berpuasa Selama Setahun

Kenyataan ini dikuatkan dengan sabda Rasulullah SAW yang lain.

(مَنْ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ كَانَ تَمَامَ السَّنَةِ (مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا

“Barangsiapa berpuasa enam hari setelah Idul Fitri, maka dia seperti berpuasa setahun penuh. (Barangsiapa berbuat satu kebaikan, maka baginya sepuluh kebaikan yang sama)” (Sahih Ibnu Majah, no.1402 – Imam Al-Albani mensahihkan hadis ini)

Justeru mengikut perkiraan para ulama, 30 hari berpuasa Ramadan bersamaan dengan berpuasa selama 300 hari (30 x 10 = 300 hari).

Ditambah dengan 6 hari Syawal (6 x 10 = 60 hari), maka jumlahnya menjadi 360 hari.

#2- Tanda Diterima Amalan Pada Bulan Ramadan

Ibnu Rajab Al-Hanbali rahimahullah mengatakan bahawa kembali melakukan puasa setelah puasa Ramadan merupakan tanda diterimanya amalan puasa Ramadan. Jika Allah menerima amalan seseorang hamba, Allah akan memberinya petunjuk untuk dia melakukan amal soleh selepas itu.

#3- Tanda Syukur Kepada Allah

Kita telah melalui Ramadan dengan sempurna. Allah juga telah menyediakan ganjaran berlipat kali ganda, maka berpuasa pada bulan Syawal adalah cara kita menyatakan rasa syukur kepada Allah.

Sedangkan Nabi SAW sendiri apabila ditanya oleh isterinya, Saidatina Aisyah – “Mengapa engkau masih melakukan solat malam sebegini ya Rasulullah (sehingga bengkak kaki)? Sedangkan Allah sudah mengampunkan dosamu yang telah lalu atau akan datang”

Maka dijawab Nabi SAW,

أَفَلاَ أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا

“Tidakkah aku senang menjadi hamba yang bersyukur?”

Allah bukan tidak tahu bahawa nabi bersyukur. Allah bukan tidak tahu Nabi SAW taat, tetapi perbuatan ini adalah hujah bahawa syukur perlu dibuktikan melalui ketaatan serta amal soleh. Syukur itu adalah sunnah Nabi SAW yang seharusnya menjadi kelaziman umatnya juga.

#4- Sebagai Cara Untuk Memperbaiki Kekurangan Di Bulan Ramadan

Menurut Ibnu Rajab al-Hanbali lagi, berpuasa di bulan Syawal merupakan cara untuk memperbaiki kekurangan yang telah dilakukan pada bulan Ramadan, umpama solat fardhu yang ada kecacatan dan kekurangan diperbaiki pula dengan solat sunat rawatib.

“…puasa di dalam bulan Syawal dan Syaaban seperti sembahyang sunat rawatib sebelum solat fardhu dan selepasnya. Ianya bertujuan bagi menyempurnakan kekurangan dan kecacatan pada solat fardhu itu. Sesungguhnya setiap amalan fardhu itu akan diperelokkan dan disempurnakan dengan amalan sunat. Ini seperti yang terdapat di dalam hadis Nabi SAW. Dan kebanyakan manusia yang melakukan puasa wajib tidak dapat lari daripada kekurangan dan kecacatan, oleh itu puasa sunatlah yang akan memperbaiki dan menyempurnakannya.” [(Rujuk: Lataif al-Ma’rifah li Ibnu Rajab, 1/220) – diambil daripada keterangan di web Mufti Wilayah Persekutuan)]

#5- Peluang Untuk Bertaubat Kepada Allah

Jika kita menyedari bahawa amal kebaikan di bulan Ramadan tidak seberapa, bahkan ada pula dosa-dosa yang dilakukan yang ‘mengeringkan’ pahala puasa, maka inilah waktu untuk kita bertaubat semula serta menginsafi kelemahan diri.

Allah mengingatkan bahawa apabila seseorang anak Adam itu melakukan dosa, itu bukan bermakna dia telah menemui jalan buntu. Masih ada jalan untuk keluar ke arah ‘cahaya’ iaitu dengan mengiringi dosa yang telah dilakukan dengan amal kebaikan kerana kebaikan tersebut mampu menghapus cela dosa yang telah dilakukan.

اتق الله حيثما كنت ، وأتبع السيئة الحسنة تمحها، وخالق الناس بخلق حسن

“Bertakwalah kepada Allah di manapun anda berada. Iringilah perbuatan dosa dengan amal kebaikan, kerana kebaikan itu dapat menghapusnya. Serta bergaulah dengan orang lain dengan akhlak yang baik” (HR. Ahmad, no. 21354, Tirmidzi 1987, ia berkata: ‘hadits ini hasan shahih).

#6- Tanda Ibadahnya Tidak Mengikut Musim

Kata ramai orang, mereka tidak mahu cinta yang bermusim. Apabila sedang dalam keadaan senang, cinta menjadi kuat. Tetapi dalam keadaan kurang dan lemah, cinta layu tidak dijaga.

Begitu juga dalam hubungan antara seorang hamba dan Rabnya. Amal ibadah yang tetap dilakukan walau Ramadan telah berlalu adalah bukti bahawa cinta dan usahanya untuk mendekati Allah itu tidak bermusim, dan bukan kerana kemeriahan suasana semata-mata.

Itulah 6 hikmah yang mampu kami kongsikan kepada pembaca Tzkrh semua tentang anjuran berpuasa sunat 6 enam hari di bulan Syawal. Jika kita tidak berpeluang bertemu dengan Lailatul Qadar, dan tidak sempat meraih ganjaran 1000 tahun beribadah, maka peluang beribadah sepanjang tahun ini sudah cukup baik untuk dimanfaatkan.




No comments:

Powered by Blogger.