Marah Boleh Batalkan Puasa Anda?
“Hati-hati bila marah, nanti batal puasa.”
Tinggal lagi sehari untuk kita berpuasa. Rata-rata mungkin sedang sibuk menyediakan persiapan hari raya. Mungkin pada masa ini akan berlakulah perselisihan faham.
Ada yang nak pasang langsir warna biru, ada yang penat mengemas rumah, maka wujudlah perselisihan faham antara ahli di rumah.
Pada masa inilah waktu yang sesuai untuk menguji tahap kesabaran anda. Hati-hati bila marah, takut nanti terbatal puasa.
Dulu-dulu, mungkin orang tua anda sering memberi nasihat dalam bentuk demikian. Ia tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjadikan anda seorang yang sabar dan mampu menahan diri dari perasaan marah.
Namun, betulkah marah itu boleh membatalkan puasa? Sebenarnya, marah itu tidaklah sehingga membatalkan puasa, namun lebih kepada pahala puasa yang berkurang.
Jumhur ulama seperti Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dan Imam Nawawi menyebut bahawa, puasa itu bulan untuk menahan diri, bukan sahaja dari lapar dan dahaga namun juga dari perkara-perkara yang terlarang. Maka, cubalah tahan diri dari sifat amarah kerana ia adalah sifat mazmumah (sifat buruk).
وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ ، فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَصْخَبْ ، فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ ، أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّى امْرُؤٌ صَائِمٌ
Maksud: “Jika salah seorang dari kalian sedang berpuasa, maka, janganlah berkata-kata kotor. Dan jangan pula bertindak bodoh. Jika ada seseorang yang mencelanya atau menganggunya, hendaklah mengucapkan; “sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1904)
Justeru, pemahaman marah dapat membatalkan puasa itu perlu segera dibaiki. Jangan terus minum air apabila anda marah kerana beranggapan bahawa puasa anda sudah batal.
Sebaliknya, gunakan tips yang diajar Baginda SAW untuk meredakan kemarahan anda. Semoga tahap kesabaran anda lebih kuat berbanding dengan tahap kemarahan kerana madrasah Ramadan tujuannya adalah untuk mengajar anda menahan amarah.
Wallahu a’alam.
Sumber:
Rumaysho.com
No comments: