Ayuh Checklist Ramadan Anda Kali Ini
Alhamdulillah, selesai sudah 30 hari kita berpuasa kali ini. Bersyukur kerana pada saat ini, kita masih lagi diberikan ruang dan peluang untuk berpuasa.
Berpuasa secara bersendirian di perantauan atapun di rumah bersama ahli keluarga, kedua-duanya adalah nikmat yang perlu disyukuri.
Jadi, bagaimana Ramadan anda kali ini? Penuh dengan makna dan keseronokan atau sebaliknya? Mengapa saya kata keseronokan?
Ya, bukan mudah untuk menghayati Ramadan. Ada yang sehingga ke hari terakhir Ramadan pun, masih lagi bertungkus-lumus untuk mencari nikmat Ramadan. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang mampu menghayati Ramadan.
Bagaimana untuk memastikan anda seronok dan menikmati Ramadan kali ini? Ayuh checklist Ramadan anda kali ini dengan senarai di bawah;
#1 – Berjaya Khatam Quran
Rata-rata orang akan meletakkan matlamat untuk khatam Al-Quran pada setiap kali Ramadan. Ia adalah sunnah yang tidak pernah ditinggalkan Baginda. Bahkan, diriwayatkan pada Ramadan terakhir Baginda, Baginda telah berjaya khatam sebanyak dua kali yang telah diperiksa oleh Jibril AS.
Jika sudah berjaya khatam Al-Quran, Alhamdulillah. Ia adalah sebuah pencapaian besar buat anda dalam bulan Ramadan kali ini. Ramadan ialah bulan yang dimuliakan kerana ia adalah bulan turunnya Al-Quran.
#2 – Tadabbur Al-Quran
Jika tidak berjaya khatam Al-Quran disebabkan oleh faktor masa atau kerja-kerja yang menghalang, tidak mengapa. Sekurang-kurangnya anda mencuba.
Ada juga dalam kalangan kita yang menetapkan untuk memahami Al-Quran ataupun surah-surah yang ingin dipelajari. Ia adalah suatu amalan yang mulia juga.
Dengan ini, anda dapat memahami sejarah ia diturunkan dan maksud tersirat disebalik surah tersebut.
#3 – Berjaya Qiamullail
Qiamullail tidak semestinya dilakukan pada pukul dua atau tiga pagi. Bahkan, ramai yang mengambil kesempatan untuk melaksanakan solat malam sebelum bangun sahur atau sejurus selepas sahur, iaitu sebelum Subuh.
Usaha sebegini yang seharusnya dipuji kerana ia sebagai permulaan untuk anda istiqamah dalam beramal. Semoga qiamullail tersebut dapat diteruskan sehingga datangnya Ramadan tahun hadapan.
#4 – Bersedekah
Bersedekah kepada orang yang anda tahu atau tidak, ia merupakan amalan mulia kerana ganjarannya dilipatgandakan pada bulan Ramadan kali ini.
Walau sedikit, namun jika ikhlas, Allah akan menilai ia dengan ganjaran yang telah dijanjikan-Nya.
#5 – Memberi Makan Kepada Orang Puasa
Apabila anda memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka ganjarannya adalah sama dengan pahala orang yang berpuasa.
Hebat bukan? Bukan itu sahaja, malah anda sebenarnya akan bahagia apabila melihat orang yang anda berikan makanan tersebut turut berbahagia.
Pemberian yang sedikit, namun jika memberi impak yang besar kepada orang sekeliling anda, maka ia sebenarnya turut memberi impak yang besar kepada anda jua.
#6 – Memperbanyakkan Zikir
Zikir mudah sahaja. Cukup dengan mengucapkan Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, maka ganjarannya berlipat kali ganda.
Setiap kali selepas solat, anda boleh mengamalkan zikir tersebut. Nescaya hati anda akan tenang dan lidah anda akan terbiasa dengan zikrullah.
#7 – Tidak Tinggal Tarawih
Walaupun hukum solat sunat Tarawih adalah sunat, namun tidak salah untuk sentiasa menunaikannya pada setiap malam Ramadan, bukan?
Solat sunat Tarawih ini hanya datang sekali sahaja setahun, iaitu pada bulan Ramadan. Jadi, peluang tersebut perlulah direbut.
#8 – Sentiasa Bangun Sahur
Sahur itu adalah sunnah dan padanya ada keberkatan. Baginda SAW juga diriwayatkan tidak pernah meninggalkan sahur walau dengan hanya makan sebiji kurma dan minum segelas air.
Kesimpulan
Dah checklist Ramadan anda? Jadi, bagaimana Ramadan anda kali ini? Semakin baik daripada Ramadan lepas atau biasa sahaja?
Semoga ia adalah semakin baik dan mampu menjadikan anda seorang ‘graduan’ daripada Madrasah Ramadan yang lulus dan terbaik.
Walau apa pun amalan anda dalam bulan Ramadan kali ini, semoga Allah menerimanya dan diberi peluang untuk bersua dengan Ramadan lagi.
Wallahu a’alam.
No comments: