Ads Top

TM Optimumkan Trafik Rangkaian Bagi Penyelenggaraan Sistem Kabel Dasar Laut

KUALA LUMPUR, 17 April  — Telekom Malaysia Bhd (TM) mengambil langkah proaktif untuk mengoptimumkan trafik rangkaiannya bagi kerja-kerja penyelenggaraan oleh konsortium sistem kabel dasar laut Asia-Amerika Gateway (AAG) dengan mengalihkan trafik kepada laluan alternatif dan langkah lain bagi mengurangkan impak kepada pengguna.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat telekomunikasi itu berkata kerja-kerja penyelenggaraan itu akan dibuat mulai hari ini sehingga 21 April bagi sistem kabel dasar laut di Segmen 1i antara Vung Tau (Vietnam) ke Lantau, Hong Kong, yang menghubungkan Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) di Asia Pasifik termasuk Malaysia ke Hong Kong dan Amerika Syarikat (AS).

Sehubungan itu, TM berkata langkah penyelenggaraan tersebut menyebabkan perkhidmatan pengguna Internet di Malaysia dan rantau lain dijangka merosot sedikit, manakala pengalaman Internet bagi pengguna dan perkhidmatan lain sebahagian besarnya tidak akan terjejas akibat kerja-kerja kabel ini.

“TM sekali lagi mengingatkan bahawa ia mempunyai kesalinghubungan rangkaian yang luas dan pelbagai di seluruh dunia yang cukup untuk terus menampung sebarang permintaan mendadak lebar jalur Internet.

“Ini membolehkan kami memastikan infrastruktur rangkaian kami berfungsi dan sentiasa tersedia kepada pelanggan tanpa sebarang gangguan,” katanya dan menurutnya konsortium itu perlu melaksanakan kerja penyelenggaraan pencegahan bagi mengelakkan potensi berlakunya gangguan di masa depan.

AAG menyediakan kesalinghubungan antarabangsa kepada sebahagian perkhidmatan berasaskan Internet seperti persidangan video Zoom, Rangkaian Persendirian Maya (VPN) dan Pemesejan Segera (Jabber dan Wechat) serta sebarang aplikasi yang dihoskan di Hong Kong dan AS.

Sementara itu, TM berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan kebanyakan orang berada di rumah telah meningkatkan aliran penggunaan melebihi 30 peratus.

“Daripada jumlah itu, peningkatan trafik rangkaian antarabangsa hanya mencatat lima peratus. Oleh itu, rangkaian TM masih berupaya menyediakan aplikasi atau kandungan popular dengan pengalaman pengguna yang memuaskan,” katanya.

Usaha sama sedia ada TM dengan syarikat gergasi teknologi dunia dan rangkaian sosial dalam mewujudkan kandungan Internet tempatan menyebabkan hanya 20 peratus daripada trafik Internet ke peringkat antarabangsa khususnya untuk penstriman, permainan dalam talian dan telesidang, sekali gus memberi impak minimum kepada pengguna Internet di Malaysia jika berlaku gangguan atau kerja-kerja kabel.

Sumber: BERNAMA

The post TM Optimumkan Trafik Rangkaian Bagi Penyelenggaraan Sistem Kabel Dasar Laut appeared first on Siakap Keli.




No comments:

Powered by Blogger.