Ads Top

Guru Luar Bandar Hadapi Kekangan Laksana PDP Dalam Talian

KUALA LUMPUR, 17 April — Capaian internet rendah menjadi kekangan utama dihadapi guru di kawasan pedalaman dalam melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausa Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Harry Tan Huat Hock mendedahkan kekangan lain termasuk kesukaran mendapatkan kemudahan internet dalam kalangan pelajar khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.

Justeru itu, katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) digesa memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi pendidik serta ibu bapa dan pelajar dalam melaksanakan PdP dalam talian.

“PdP dalam talian bertujuan memastikan agar pelajar tidak tercicir sepanjang PKP dilaksanakan, namun terdapat kekangan yang dihadapi guru dan pelajar.

“Beberapa maklum balas daripada guru berkaitan dengan pembelajaran dalam talian termasuk capaian kepada kemudahan internet tidak menyeluruh dalam kalangan pelajar, terpaksa berkongsi telefon pintar antara adik-beradik bagi keluarga besar dan tiada kemudahan komputer,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kekangan lain adalah tiada kemudahan untuk mencetak tugasan bagi pelajar tiada komputer, suasana di rumah yang tidak kondusif untuk pelajar belajar dan tiada ibu bapa yang boleh dirujuk untuk bertanya jika ibu bapa kurang berpelajaran.

Tan juga menasihatkan agar ketua jabatan atau pentadbiran memahami kesukaran yang dihadapi guru dalam melaksanakan PdP dalam talian dan bukan hanya sekadar mahu mengejar penunjuk prestasi utama (KPI).

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan garis panduan pengajaran dan pembelajaran (PdP) sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa termasuk akses platform pembelajaran MPE-DL.

MPE-DL menyediakan pautan kepada Google Classroom dan Microsoft Teams untuk tujuan PdP, buku teks digital, video PdP(EduwebTV/CikgooTube) dan pautan aplikasi yang membantu PdP seperti Edpuzzle (aplikasi pengajaran menggunakan video secara interaktif), Quizizz (kuiz berbentuk permainan) dan Kahoot (pembelajaran berasaskan permainan).

Sejak pelaksanaan PKP, yang bermula 18 Mac lepas, Malaysia menjadi antara lima negara di dunia yang mencatatkan carian tertinggi perkhidmatan web pendidikan Google Classroom.

Berdasarkan analisis perkhidmatan web Google Trend, bagi tempoh 18 Mac hingga 14 April iaitu sepanjang PKP fasa satu dan dua, purata bacaan skor carian terhadap web pendidikan itu di Malaysia ialah 70.

Empat negara lain ialah Serbia (100), Indonesia (83),  Albania (73) dan Hungary (66).

Menurut analisis itu, bagi tempoh sama lima negeri di negara ini dengan bacaan skor tertinggi ialah Pulau Pinang (100), Selangor dan Johor (75), Sarawak (71) dan Perak (64).

Skor 100 ialah paling popular, 50 separuh popular dan 0 tidak popular.

Sumber: BERNAMA

The post Guru Luar Bandar Hadapi Kekangan Laksana PDP Dalam Talian appeared first on Siakap Keli.




No comments:

Powered by Blogger.