Seorang Mukmin Umpama Pohon Muda
Saya teringat sebuah hadis tentang sangka baik. Maksud hadis itu begini – seorang Mukmin yang sempurna keimanannya akan mendapat kebaikan dalam setiap perkara yang berlaku ke atas dirinya, sama ada perkara baik atau buruk. Ini kerana, dia telah memandang baik apa yang telah didatangkan Allah untuknya.
Jika dia mendapat sesuatu yang menggembirakan dia bersyukur, dan jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar. Syukur dan sabar inilah khazanah berharga bagi dirinya.
Hadis ini mengingatkan saya kepada seorang teman. Peribadinya saya kagumi kerana setiap kali saya bercakap dengannya, hanya kalimah kebaikan dan pujian kepada Allah yang terbit dari bibirnya. Bukan kutukan pada orang mahupun rungutan pada Tuhan. Sedangkan saya tahu dia menanggung sakit yang agak berat ketika itu. Dia naik ke pentas semasa Majlis Graduasi dengan berkerusi roda.
Barangkali ciri mukmin beginilah yang dimaksudkan dalam hadis di atas – seorang yang sentiasa bersangka baik pada Allah.
Malah dalam sebuah hadis lain, seorang yang beriman kepada Allah juga diumpamakan seperti sebatang pohon muda yang bergoyang apabila ditiup angin. Ujian (angin) bukan menjadikannya lemah malah akar jadi semakin kuat mencengkam tanah. Apabila angin berhenti, ia akan berdiri tegak semula.
Sedangkan orang kafir diibaratkan seperti kayu jati yang sangat keras sehingga angin pun tidak berdaya menjadikannya lembut. Malah Allah lebih mudah mematahkannya (membinasakannya) bila-bila masa sahaja yang Allah mahu.
Maksud sabar pula bukan bermakna kita perlu duduk berdiam diri sahaja tanpa berbuat apa-apa – bukan menyerah kepada nasib dan takdir semata-mata. Di dalam sabar juga terkandung usaha. Jika ada yang boleh diperbaiki, maka kita harus memperbaiki. Jika belum mampu untuk melakukan sesuatu, kita tidak terus mengeluh dan berputus asa.
Malah Rasulullah SAW mengingatkan melalui sabdaNya:
مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً
“Tidak ada satupun musibah (kesusahan) yang menimpa seorang muslim berupa duri atau yang semisalnya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapus kesalahannya.” (Sahih Muslim,no.4665)
Yakinlah bahawa setiap ujian itu tidak sia-sia. Jika kita masih belum mampu melihat hikmah, itu tidak bermakna ia tidak ada. Hikmah selalu tersingkap setelah berlalu masa dan kita mula belajar menerima.
Saya berharap setiap kali kita menempuh cubaan dan cabaran, kita tidak akan menjadi orang yang sama lagi seperti sebelumnya. Tetapi kita akan menjadi seorang yang lebih bijaksana, kuat dan cekal hati. InsyaAllah.
No comments: