Ads Top

Mari Belajar Mengurus Emosi Sendiri Agar Tidak ‘Mencederakan’ Orang Lain

Pada akhir bulan lalu, kita diperdengarkan oleh beberapa laporan media berkenaan seorang wanita yang telah memaki pihak polis yang sedang menjalankan sekatan jalan raya di Petaling Jaya, Selangor.

Menurut Harian Metro, wanita itu dikatakan telah membunyikan hon kenderaannya dan menghampiri petugas keselamatan untuk menyatakan rasa tidak puas hati beliau.

Laporan daripada Astro Awani pula menyebut bahawa wanita tersebut telah mengeluarkan perkataan idiot (bodoh) sehingga menyebabkan beliau ditahan polis.

Namun, daripada Sinar Harian melaporkan bahawa wanita itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan telah dibenarkan diikat jamin berjumlah RM 4000.

Isu yang dilihat di sini ialah sikap wanita itu yang mudah berang dan agresif terhadap orang lain meskipun beliau telah melepasi sekatan jalan raya itu.

Beliau sanggup keluar dari kenderaan dan menghampiri para pegawai yang bertugas semata-mata untuk menghamburkan kata-kata makian kepada mereka demi meluahkan perasaan marahnya yang membuak-buak.

Menurut Key Sun, seorang psikologis dan pengajar di Central Washington University mengatakan bahawa punca kepada individu yang punyai sifat agresif adalah disebabkan salah tafsir kognitif terhadap orang lain.

Menurut beliau, individu begini menganggap perbuatan baik orang lain sebagai hostile intention (berniat jahat) dan mereka juga percaya mereka boleh mengawal orang lain dengan kaedah kekasaran.

Dalam laporan media, wanita yang ditahan polis itu dikatakan telah bertindak sedemikian kerana beranggapan bahawa pihak polis sengaja menyusahkan orang ramai dengan mengadakan sekatan jalanraya.

Walhal, seperti yang kita ketahui, pihak polis sekadar menjalankan tugas mereka mengawal pergerakan orang ramai disebabkan penguatkuasaan Peraturan Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.

Key Sun menambah bahawa faktor kepada salah tafsiran kognitif terhadap orang lain mungkin kesan daripada trauma sewaktu kecil sehingga menyebabkan keupayaan empati mereka berubah ke arah self-serving, iaitu mementingkan diri sendiri berbanding orang lain.

Emosi Perlu Diurus Bukan Diendahkan

Saya yakin bahawa setiap orang yang berfikiran waras apabila mempunyai masalah bersifap agresif pasti mencari jalan untuk menguruskannya. Mungkin diri kita sendiri yang cepat melenting apabila berhadapan dengan situasi yang tidak menyenangkan.

Ini mengingatkan saya kepada sebuah kajian untuk mengawal sifat agresif dengan menggunakan kaedah melatih kawalan diri. Kajian ini telah dijalankan oleh Tom Denson, Profesor di School of Psychology, University of New South Wales.

Menariknya, dapatan daripada kajian ini menyebut, kaedah kawalan diri tersebut ialah dengan cara menggunakan tangan yang kurang dominan dalam aktiviti harian kita.

Peserta yang dominan tangan kanan perlu menggunakan tangan kiri, manakala peserta yang kidal perlu menggunakan tangan kanan dan ia perlu dilakukan selama dua minggu. Hasil kajian tersebut mendapati peserta menjadi kurang agresif berbanding sebelumnya.

Profesor Denson memberi komen bahawa terdapat kajian lain yang menghalang kawalan diri peserta menunjukkan hasil negatif kerana mereka menjadi lebih agresif apabila selesai.

Jadi, apa yang difahami daripada kajian ini ialah sifat marah atau agresif kita perlu dilatih, bukannya dihalang. Latihan itu pula mestilah yang berbentuk aktiviti badan bagi membolehkan proses de-escalate sifat dominan seseorang.

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلاَّ فَلْيَضْطَجِعْ

Maksud: “Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.” (Hadis Riwayat Abi Daud, no. 4782)

Idea mengurangkan dominan tubuh badan kita telah pun disebut oleh Rasulullah. Dalam kes wanita yang ditahan polis itu, beliau tidak terus duduk di dalam kenderaanya. Tetapi beliau keluar dan meluru ke arah pihak polis.

Dari situ kita boleh lihat tindakan konfrontasi tersebut menatijahkan kenyataan makian. Sedangkan boleh sahaja wanita itu duduk dahulu dalam kenderaan dan cuba untuk menenangkan diri.

Pada saya, isu ini berlaku kerana kita terlalu ‘melayan’ kehendak tubuh kita yang sedang marah. Daripada hadis di atas, apabila kita duduk atau baring, rasa marah yang membuak-buak itu akan hilang perlahan-lahan disamping dapat mengalihkan fokus kemarahan tersebut.

Secara tidak langsung, kita akan terfikir mengapa kita perlu marah berlebihan. Sebaik sahaja isyarat tersebut dihantar, tubuh kita akan lebih tenang apabila berada dalam posisi duduk dan baring. Perbuatan badan kita boleh memberi kesan signifikan kepada perasaan kita.

Justeru, perkara ini mengingatkan saya pada syarahan Amy Cuddy menerusi TED Talk beliau pada tahun 2012. Kajian beliau yang diberi gelaran sebagai power pose mendapat 56 juta tontonan sehingga kini, menjadikan ia sebagai syarahan TED Talk kedua paling terkenal di dunia.

Keputusan kajian ini adalah mudah, iaitu postur badan tertentu mempengaruhi perasaan dan keyakinan diri kita. Contohnya ialah apabila kita berdiri tegak sambil bercekak pinggang, kita akan rasa lebih yakin.

Manakala jika kita hanya duduk dan berpeluk tubuh, kita menjadi sedikit pasif berbanding perbuatan pertama tadi. Secara peribadi, saya merasakan kajian ini bertepatan dengan maksud hadis yang dinyatakan tadi.

Ia merupakan salah satu sebab Baginda menyuruh kita untuk menukar posisi supaya tidak terikut-ikut dengan perasaan marah ditambah pula terlebih yakin.

Bagaimanapun kajian Amy Cuddy mendapat kritikan oleh pengkaji lain dan pada tahun 2018 beliau berjaya membuktikan kajian awal itu adalah sah berdasarkan kajian barunya bersama dua rakan beliau.

Mempraktis Terapi Harian

Terdapat sebuah video animasi melalui Youtube yang membicarakan subjek mindfulness secara ringkas dan menarik. Video itu telah dimuatnaik oleh Happify, sebuah syarikat berasaskan langganan terapi dalam aplikasi dan laman web.

Dalam bahasa Melayu, agak sukar untuk menterjemah perkataan mindfulness dan maksud yang paling hampir pada saya ialah kesedaran dalaman seseorang.

Kesedaran dalaman seseorang apabila berada dalam situasi tertentu yang tidak menjadikan kita mudah tersentak tanpa kita sedar, terutamanya apabila ditimpa sesuatu boleh mencetuskan amarah kita.

Kebolehan untuk mempraktis kesedaran dalaman ini adalah satu kelebihan pada mereka yang mempunyainya. Tidak semua orang memiliki perkara ini.

Ada orang mengamuk sehingga mengakibatkan kes jenayah, ada orang terlalu panik sehingga mudah dieksploitasi oleh mereka yang mengambil kesempatan, manakala ada orang yang tenang dengan membuat tindakan selanjutnya seperti meminta maaf, menghubungi pihak insurans atau takaful serta terus membuat laporan polis.

Susan David juga menggelar kebolehan kita mengawal emosi dengan panggilan emotional agility. Beliau ialah pengajar psikologi di Harvard University dan pengasas Institute of Coaching di McLean Hospital of Harvard Medical School.

Keupayaan kita memandu emosi ke jalan yang boleh memberikan manfaat kepada semua orang, itulah yang dimaksudkan dengan emotional agility.

Susan David mengambil contoh kajian yang dibuat oleh Frank Bond di University of London, mengatakan bahawa keupayaan mengawal emosi ini mampu mengurangkan kesilapan dan menghilangkan stress.

Jika kita membaca penulisan berkenaan mindfulness, kebanyakannya akan dikaitkan dengan terapi sebagaimana definisi yang diberikan oleh American Psychological Assosiation.

Justeru, dalam konteks dunia Islam, kita boleh kaitkan dengan perbuatan amal ibadah berbentuk perbuatan dan ucapan seperti ambil wudhu, berzikir, dan solat.

إِنَّ الْغَضَبَ مِنَ الشَّيْطَانِ وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنَ النَّارِ وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksud: “Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwudhu. (Hadis Riwayat Abi Daud)

Dalam ayat lain, Allah berkata lagi:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّـهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّـهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’d 13:28)

Jangan Menafikan Emosi

Manusia ialah makhluk yang istimewa dan unik berbanding dengan makhluk yang lain. Terutamanya malaikat yang menurut perintah tanpa sedetik waktu pun melanggarnya, manusia mempunyai kelebihan yang lebih utama, iaitu keupayaan membuat pilihan.

Kelebihan itu dikurniakan dalam bentuk akal fikiran dan ilmu pengetahuan. Dari sebab penciptaan itulah manusia diturunkan ke muka bumi bagi menjalani ujian kehidupan sebagai bekalan hari akhirat nanti.

Manusia mempunyai emosi dan perasaan. Perasaan tarikan pada berlainan jantina, perasaan marah apabila berlaku kezaliman dan perasaan sedih apabila ditimpa musibah. Begitu banyak kisah yang diceritakan di dalam al-Quran berkenaan perkara ini.

Apa yang penting dalam mengawal perasaan ini ialah dengan tidak melampaui batas. Kita dapat lihat melalui kisah pembunuhan pertama yang berlaku dalam sejarah manusia, iaitu anak Nabi Adam terhadap suadaranya akibat perasaan dengki dan marah.

فَطَوَّعَتْ لَهُ نَفْسُهُ قَتْلَ أَخِيهِ فَقَتَلَهُ فَأَصْبَحَ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Mafhum: “Maka hawa nafsu (Qabil) menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, maka jadilah dia seorang di antara orang-orang yang rugi.” (Surah Al-Ma’idah 5:30)

Kadangkala emosi kita akan bertukar kepada perasaan yang boleh membawa positif dan ada masa juga kepada sesuatu yang negatif. Ada masa kita akan tertanya-tanya mengapa orang lain bernasib baik berbanding kita dan mengapa kita yang ditimpa masalah.

Lalu orang yang terlalu melayan perasaan itu akhirnya akan melakukan sesuatu yang melampaui batas agama dan moral. Disebabkan itu, para pengkaji seperti Susan David mengatakan emosi kita bukan untuk ditutup atau tidak diberi perhatian, tetapi perlu diurus dengan menggunakan kaedah yang betul.

Antaranya ialah melabel emosi tersebut dan bukannya label diri kita. Apabila marah, kita boleh melabel perasaan itu dengan berkata ‘saya berasa marah’ berbanding mengatakan ‘saya marah’.

Perbuatan ini sedikit sebanyak dapat membantu kita untuk segera sedar apa yang sedang berlaku.

Apabila kita ‘rasa marah’, kita akan tanya diri kita mengapa perasaan marah itu boleh timbul, manakala jika ‘marah’ sahaja kita sudah tidak kisah apa puncanya yang penting mahu marah semata-mata.

Susan David berkata dalam syarahan TED Talk – “Emotions are data, they are not directives”.

Memberi nada bahawa perlunya mengasingkan peribadi kita dengan emosi kita. Sepertimana Baginda, apabila marah ada sebabnya dan bukan kerana sifatnya. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Tirmizdi:

لا تُغْضِبُهُ الدُّنْيَا ، وَلا مَا كَانَ لَهَا ، فَإِذَا تُعُدِّيَ الْحَقُّ , لَمْ يَقُمْ لِغَضَبِهِ شَيْءٌ , حَتَّى يَنْتَصِرَ لَهُ ، وَلا يَغْضَبُ لِنَفْسِهِ ، وَلا يَنْتَصِرُ لَهَا

Maksud: “Perkara keduniaan tidak membuat Nabi marah. Adapun jika menyanggahi kebenaran, tiada apapun yang mampu berdepan Baginda, sehingga Baginda memenangkan kebenaran itu. Nabi juga tidak marah jika ia melibatkan urusan peribadi Baginda, dan tidak berusaha untuk memenangkan diri Baginda.” (Al-Syama’il Al-Muhammadiyah)

Contoh yang lain ialah melalui kisah Usamah bin Zaid yang pernah membunuh seorang musuh di medan perang, meskipun dia telah mengucapkan syahadah. Baginda begitu marah sehingga menggulang-ulang pertanyaan tersebut yang membuatkan Usamah berasa bersalah.

Kesimpulan

Oleh itu, Islam mengajar kita bahawa sifat manusia yang kita miliki ini bukanlah halangan untuk kita mengamalkan ajaran yang diturunkan Allah. Bahkan, dengan mempelajari kisah Nabi dan wahyu yang disampaikan Baginda, Islam memberikan panduan bagaimana untuk menguruskan sifat insaniah kita.

Usahlah kita terlalu melayan perasaan sehingga boleh menggugat hubungan kita dengan orang lain atau pun keimanan kita kepada Allah. Begitu ramai pengkaji walaupun dari kalangan orang bukan Islam yang kita boleh ambil pengajaran daripadanya.

Rujukan:
Why are some people habitually aggressive
Want to limit aggression? Practice self-control.
Nasihat dan tips untuk mengawal marah




No comments:

Powered by Blogger.