8 Pintu Syurga Yang Dibahaskan Ulama
Kita pernah mendengar nama-nama syurga, nama-nama neraka dan banyak lagi berkaitan alam akhirat. Buat Muslim yang mempunyai rukun iman di hati, kita percaya dan beriman bahawa alam akhirat wujud dan bakal didiami oleh semua makhluk.
Sama ada syurga atau neraka, ia adalah bergantung kepada amalan yang dilakukan di dunia ini. Jika baik dan berat timbangannya ke sebelah kanan, maka beliau layak ke syurga. Namun, jika sebaliknya maka seseorang itu akan dihumban ke neraka.
Adapun, kita sering dengar Jannah dan Firdaus yang merupakan istilah terkenal tentang syurga. Bahkan, dikatakan syurga ini ada beberapa pintu dan tingkat yang boleh didiami bergantung kepada amalan seseorang.
Ada yang mengatakan bahawa pintu syurga itu ada lapan. Ini adalah perbahasan ulama berkenaan perihal ini.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksud: “Sesiapa yang berinfaq (hartanya) sebanyak dua kali di jalan Allah, maka dia akan diseru untuk masuk melalui pintu syurga. “Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan.” Sesiapa yang banyak melakukan solat, maka dia akan dipanggil (masuk syurga) melalui pintu solat. Sesiapa yang banyak berjihad, maka dia akan diseru melalui pintu jihad. Sesiapa yang banyak berpuasa, maka dia akan dipanggil melalui pintu puasa. Dan sesiapa yang banyak bersedekah, maka dia akan dipanggil melalui pintu sedekah.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1897)
Menerusi hadis sahih di atas, kita dapat lihat bahawa terdapat empat pintu syurga yang disenaraikan oleh Baginda SAW. Namun, dari mana datangnya lagi empat pintu syurga?
Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani RA menjelaskan – “Di dalam hadis ada disebutkan berkenaan empat pintu syurga. Kemudian, orang yang melaksanakan rukun-rukun Haji, ia akan mendapatkan pintu khusus tanpa keraguan. Maka, tinggal lagi tiga pintu. Di antaranya ialah Babul Kazhiminal Ghaizha Wal ‘Afina ‘Anin Naas yang bermaksud pintu menahan amarah dan memaafkan manusia.
Ada juga pintu yang disebut babul ayyam, iaitu pintu yang dimasuki orang-orang yang sempurna tawakkalnya sehingga masuk syurga tanpa hisab dan azab. Pintu seterusnya ialah Babul Zikri, iaitu pintu zikir kerana hadis riwayat Tirmizi yang pernah meriwayatkan hal itu dan yang terakhir ialah Babul Ilmi yang bermaksud pintu ilmu.” (Kitab Fathul Baari, 7/34)
Melalui tafsiran daripada Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani di atas, dapat kita lihat bahawa senarai lapan pintu yang dimasukkan ialah pintu untuk orang-orang yang berjaya melaksanakan rukun haji dengan sempurna, pintu untuk mereka yang berjaya menahan amarah dan memaafkan orang lain, pintu untuk mereka yang sempurna tawakkalnya kepada Allah dan juga pintu zikir.
Adapun, beliau juga menambah bahawa ada pintu yang disebut juga dalam hadis, iaitu pintu ilmu buat mereka yang berusaha menuntut ilmu kerana ia adalah sebahagian daripada jihad.
Terdapat juga perbahasan pintu lain yang wujud berdasarkan hadis-hadis yang telah diriwayatkan seperti Babul Walid, iaitu pintu untuk orang yang berbakti kepada orang tua.
Maksud: “Orang tua adalah pintu syurga yang paling tengah. Jika engkau mensia-siakannya, silakan. Atau jika engkau ingin menjaganya, silakan.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 914)
Kesimpulan
Menurut periwayatan hadis, pintu syurga yang disebutkan adalah empat. Namun, jumhur ulama berbeza pendapat dan ada yang mengatakan bahawa jumlahnya adalah lapan.
Hal ini adalah berdasarkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Baginda SAW sendiri secara berasingan daripada hadis di atas.
Wallahu a’alam.
Sumber:
Muslim.or.id
No comments: