Ads Top

Luahan Isi Hati, Perasaan Yonny Boii Menerusi Single Baharu Salahku

Komposer dan penyanyi muda berbakat besar yang sedang meningkat naik, Yonny Boii kini muncul dengan mempertaruhkan single solo terbaharu berjudul Salahku.

Yonny Boii atau pemilik nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin ini terus selesa mengabadikan pengalaman hidup sendiri dengan luahan isi hati dan perasaan dalam lagu ciptaannya sendiri.

“Apa yang boleh saya katakan Salahku menyingkap kisah lalu tentang kehidupan peribadi saya dan pengalaman itu telah mematangkan saya. Misalnya, di sekolah dulu saya tak ramai kawan. Saya memang jenis yang suka menyendiri, berdiam diri, memendam rasa dan cepat marah.

“Sebab itulah saya menghasilkan lirik banyak berdasarkan pengalaman saya membesar. Ramai yang cakap lirik saya terlalu mendalam dan mereka yang mendengar sukakan sesuatu yang bukan direka. Setiap lirik pasti ada kisah yang ingin saya sampaikan,” jelasnya.

Bercerita lanjut mengenai lagu itu lagi, Yonny Boii berkata, ia umpama terjemahan bahawa diri manusia ini tidak pernah sempurna.

“Lagu ini saya tulis mengenai isi hati diri saya. Sejak usia 16 tahun lagi, saya lebih selesa menunjuk perasaan dalam lagu kerana sering merasakan diri saya banyak kekurangan. Kadangkala orang tidak memahami apa yang saya lalui dan yang diinginkan dalam hidup. Jadi menerusi lagu saya dapat melempiaskan perasaan saya.

“Kadang kala tindakan yang kita buat, kita rasa kita betul. Hakikatnya pada mata orang lain apa yang kita buat itu satu kesilapan. Disini berlaku kekeliruan pada diri sendiri. Saya rasa senario itu mungkin turut dilalui orang lain.

“Pada ketika diri berasakan sudah cukup baik dan bagus, pasti ada yang melihat sebaliknya. Akhirnya ia telah menjadi pengajaran berharga dalam hidup. Kekurangan dan kelemahan yang ada dalam diri itu saya tukar menjadi kekuatan. Akhirnya rezeki saya dalam dunia seni. Hari demi hari saya lebih matang dalam banyak aspek,” katanya.

Dalam pada itu, sebelum tampil dengan single Salahku, Yonny Boii juga meledak dengan lagu Sakit yang berduet bersama Zynakal.

Tidak hanya bekerjasama dalam lagu Sakit, mereka berdua juga pernah berganding dalam lagu Cemburu juga dicipta Yonny tahun lalu.

“Salahku ni dikira single ketiga solo saya selepas Tujuan dan Biar. Tahun lalu pun saya sebenarnya pernah muncul dengan lagu Takut berkolaborasi dengan Caprice.

“Beberapa bulan lalu saya dipanggil untuk turut serta mewarnai lagu X Missing You dendangan Dayang Nurfaizah. Faizal Tahir dan Tuju K Clique pun ada.

“Ini dikira sebagai penampilan istimewa, saya berperanan buat lirik bahagian yang saya nyanyikan sahaja. Bulan lalu saya juga tampil dalam lagu 3 Kucing dendangan Ariff Bahran,” katanya.

Lagu berentak R&B hasil ciptaan anak jati Kuala Lumpur itu dilancarkan pada 12.00 tengah malam 3 April 2020 di semua platform digital terpilih seperti itunes, Spotify, Apple Music, Deezer, Joox Music dan KK Box selain disaluran YouTube Universal Music. – KopiPlanet.com

The post Luahan Isi Hati, Perasaan Yonny Boii Menerusi Single Baharu Salahku appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.