Ads Top

Ini Ialah Bagaimana ‘Frontliner’ Solat Sepanjang Merawat Pandemik COVID-19

Sebelum ini fatwa telah memutuskan kepada mereka yang terlibat sebagai frontliner atau barisan petugas hadapan dibolehkan untuk menunaikan solat secara jamak apabila wujud keadaan yang tidak membolehkan mereka solat seperti biasa.

Antara garis panduan dan syarat yang telah diletakkan ialah:

1 – Waktu syif tersebut meliputi sekurang-kurangnya dua waktu solat yang jika tidak ada keharusan jamak akan menyebabkan terlepas salah satu waktu.

2 – Tiada pilihan waktu syif lain.

3 – Tidak dibenarkan untuk membuka pakaian PPE (Personal Protective Equipment) ketika waktu syif.

4 – Melakukan jamak takdim jika waktu syif berpanjangan sehingga terkeluar daripada waktu solat.

5 – Melakukan jamak ta’khir jika waktu syif bermula sebelum waktu solat pertama dan berakhir sehingga masuk waktu solat kedua.

6 – Hanya dibenarkan melakukan jamak tamam, iaitu melakukannya secara sempurna tanpa perlu qasar. Ini kerana qasar, iaitu memendekkan solat empat rakaat kepada dua rakaat hanya dilakukan ketika musafir.

Namun, mungkin timbul sedikit kemusykilan berkenaan bagaimana sebenarnya garis panduan untuk golongan barisan hadapan ini solat.

Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin telah mengeluarkan Risalah Hukum COVID-19, iaitu panduan ibadat solat bagi petugas barisan hadapan ini.

Ini adalah beberapa situasi yang diberikan sebagai gambaran buat garis panduan mereka yang bertugas di barisan hadapan.

#1 – Situasi 1

Petugas yang tidak memakai PPE (Personal Protective Equipment) – Mereka boleh menunaikan solat seperti biasa dalam waktunya dan perlu mempunyai wuduk.

#2 – Situasi 2

Petugas yang tidak memakai PPE dan berada dalam situasi yang memerlukan jamak solat. Sebagai contoh, solat Zuhur dilewatkan sehingga akhir waktunya, maka solat Asar dilakukan sebaik sahaja masuk waktunya.

Ia nampak seolah-olah melakukan jamak tetapi hanya melaksanakan dua solat pada waktu yang berdekatan sebenarnya. Solat seperti ini dipanggil sebagai jamak suri(jamak gambaran) dalam Mazhab Syafie.

Dalam situasi ini, mereka perlu memastikan agar berada dalam keadaan wuduk (wuduk diambil seperti biasa) dan solat perlu didirikan secara sekali gus tetapi masih dalam waktu masing-masing (selagi mampu).

Adapun, jika tidak mampu, petugas boleh menjamakkan ia secara taqdim atau ta’khir tetapi tidak boleh diqasarkan kerana tidak memenuhi syarat musafir.

#3 – Situasi 3

Petugas yang memakai PPE, wuduknya diambil sebelum itu dan kekal dalam pemakaian tersebut. Mereka perlu mendirikan solat seperti biasa dalam waktunya.

Adapun, jika tidak mampu, petugas boleh menghimpunkan dua solat sekali gus tetapi masih dalam waktu masing-masing (jamak suri).

Jika tidak mampu (sama ada terbatal wuduk, boleh dijamakkan secara taqdim atau ta’khir tetapi tidak boleh diqasarkan kerana tidak memenuhi syarat musafir.

#4 – Situasi 4

Petugas yang memakai PPE dan wuduknya belum sempat diambil sebelum itu atau terbatal semasa tempoh pemakaian tersebut.

Dalam situasi ini, mereka perlu menunaikan solat secara menghormati waktu tanpa wuduk atau tayammum. Solat tersebut wajib diqada semula apabila keadaan kembali seperti biasa.

Kesimpulan

Perlu diingat bahawa petugas yang memakai PPE merangkumi bidang perubatan, keselamatan dan lain-lain yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa.

Petugas akan diminta memakai PPE pada bila-bila masa apabila wujudnya situasi kritikal. Dengan ini, mereka boleh menunaikan solat dengan segera jika telah masuk waktunya dan hanya menggunakan rukhsah ini apabila terpaksa.

Ia merupakan ilmu yang bukan sahaja boleh dituntut oleh golongan barisan hadapan sahaja, namun untuk kita semua buat bekalan di masa hadapan.

Sumber:
Risalah Hukum COVID-19, Terbitan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UNISZA
Hukum Solat Jamak Bagi Petugas COVID-19

Baca juga:
Bolehkah Petugas Kesihatan Solat Jamak di Hospital




No comments:

Powered by Blogger.