Ads Top

Fazura Disahkan Hamil, Bakal Timang Cahaya Mata Hujung Tahun Ini

Setelah mendirikan rumahtangga selama lebih dua tahun, Fazura dan Fattah Amin dengan rasa penuh kesyukuran ingin mengumumkan bahawa mereka bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.

Fazura berkata, buat masa ini dia mengakui dirinya dan bayi berada dalam keadaan sihat walafiat.

“Saya tidak pernah merasakan perasaan seperti ini dan ini merupakan antara anugerah terindah yang diberi oleh Allah S.W.T terhadap kami berdua. Semenjak kami mendirikan rumahtangga, kami sentiasa percaya dan menyerahkan kepada Yang Maha Esa terhadap apa jua rezeki atau dugaan yang diberikan oleh-Nya.

“Alhamdulillah… akhirnya, berkat doa kami, keluarga tersayang, rakan-rakan dan juga para peminat yang sentiasa tidak pernah putus mendoakan kami, akhirnya doa kami semua dimakbulkan,” ujarnya.
 
Sejak mendirikan rumahtangga bersama Fattah, Fazura sering berhadapan dengan persoalan tentang kehamilan dari para media dan juga peminat.

Beliau juga pernah berjanji sekiranya dirinya hamil, peminat dan juga rakan-rakan merupakan antara yang pertama akan mengetahuinya, dan kini berita tersebut telah pun menjadi kenyataan.
 
Dalam pada itu, Fazura berasa sangat bersyukur dengan kelancaran trimester pertama beliau.

“Dalam kondisi yang kita semua sedang hadapi sekarang, saya kini sedang berehat di rumah. Alhamdulillah saya bersyukur tidak mempunyai sebarang alahan yang teruk setakat ini dan saya sangat teruja untuk menghadapi hari-hari yang mendatang,” jelasnya.
 
Pengarah Universal Music Malaysia, Kenny Ong, turut meluahkan rasa kegembiraan untuk pasangan bahagia itu.

“Kami sudah menganggap Fazura dan Fattah seperti keluarga kami sendiri dan berita ini pastinya sangat dinantikan. Kami mengharapkan mereka berdua sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan dipermudahkan segala urusan.

“Sudah pastinya kami juga tidak sabar untuk meraikan kelahiran cahayamata pertama mereka,” katanya.
 
Fazura dan Fattah dijangka akan menyambut kelahiran bayi mereka pada akhir tahun ini. – KopiPlanet.com

The post Fazura Disahkan Hamil, Bakal Timang Cahaya Mata Hujung Tahun Ini appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.