Ads Top

Dua Tahun Berehat, Sakura Band Kembali Dengan Single Menang

Setelah hampir dua tahun berehat setelah vokalis utamanya, Mell mengandung dan bersalin, kini Sakura Band telah kembali memnbuat kemunculan dengan buah tangan terbaharu berjudul Menang.

Sebelum ini, kumpulan yang dianggotai Mell (vokalis), Haniff (gitar kedua), Ali (gitar pertama) dan Akai (basis) itu berjaya mencipta pengaruh tersendiri sejak ditubuhkan pada tahun 2012 apabila single Setelah Hujan yang juga tema drama Diandra di TV3 mencipta fenomena.

Sejak itu, nama Sakura Band terus menjadi siulan dan setiap lagu mereka berjaya diterima ramai dan mendapat maklum balas positif peminat muzik tempatan seperti Pelarian, Melepaskanmu serta Polaroid dan kali terakhir Sakura Band muncul dengan single pada 2018 menerusi lagu Magik.

Menariknya mengenai Menang, ia adalah hasil karya ciptaan Natasya, Mell dan Haniff dari Sakura Band sendiri, manakala liriknya hasil tulisan Mell dan Haniff.

Menurut Haniff yang juga pemain gitar kedua, lagu Menang sudah disiapkan dua tahun lalu dan baru kali ini sedia dilancarkan.

“Lagu ini sudah ditulis dua tahun lalu. Ia sepatutnya dilancarkan tahun lepas, tapi disebabkan Mell hamil dan bersalin, jadi kami berehat.

“Kiranya, sepanjang tahun lalu saya dan anggota lain memberi fokus kepada kerja belakang tabir dan buat lagu sendiri. Awal tahun ini baru kami berbincang semula dan tetapkan masa untuk Menang dilancarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Haniff menjelaskan bahawa walaupun sudah diperam selama dua tahun, muzik Menang masih dianggap relevan pada masa sekarang.

“Lagu ini adalah kesinambungan kepada lagu Magik. Ia juga berentak elektronik moden. Jadi, muzik Menang masih relevan sebab masih moden dan boleh layan.

“Apatah lagi, lirik lagu ini menceritakan bagaimana kita perlu berjuang dalam kehidupan. Apa jangkaan kita untuk mencapai kemenangan. Pendek kata, ia memberi motivasi buat semua,” katanya.

Kongsinya lagi, lagu Menang sepatutnya menjadi projek album bersama syarikat rakaman Universal Music yang turut bertindak selalu penerbit dan pengedar bagi single ini. Disebabkan itu, kontrak bersama Universal Music dilanjutkan sepanjang tahun ini.

“Dalam kontrak bersama Universal Music cuma dua tahun dan kami perlu ada satu album. Konsep yang diketengahkan adalah lagu berentak elektronik moden. Jadi, Menang antara lagu yang patut ada dalam album ini.

“Macam dikatakan tadi, disebabkan Mell hamil dan bersalin, ia tidak dapat dibuat. Kami sempat lancarkan satu lagu saja iaitu Magik. Selepas berbincang semula dengan pihak syarikat rakaman, kami akan melancarkan satu persatu single.

“Kiranya, selepas Menang ada tiga lagu lagi. Kami juga dalam perancangan untuk merakamkan lagu baru yang mana muzik kembali seperti lagu Palaroid,” katanya.

Pada masa sama, Haniff berharap lagu Menang akan mengembalikan zaman kegemilangan Sakura Band dan terus mewarnai industri muzik tempatan.

“Semoga lagu ini dapat diterima baik sama seperti single terdahulu. Walaupun muzik tukar sikit, tapi dari segi lirik dan komposisi muzik ia masih Sakura Band. Apa yang pasti, Menang sebuah lagu yang boleh layan. Dan ia cukup istimewa buat seluruh peminat kami,” katanya.

Menang telah dilancarkan di semua pelantar muzik digital dan boleh distrim di Spotify, Joox, KKBOX, YouTube dan Apple Music bermula pada hari ini. – KopiPlanet.com

The post Dua Tahun Berehat, Sakura Band Kembali Dengan Single Menang appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.