Ads Top

Usia Panjang – Nikmat Atau Kesusahan?

Antara doa yang kerap kita pohon pada Allah selepas solat adalah dipanjangkan umur supaya dapat hidup lebih lama dan dapat melakukan lebih banyak perkara.

Namun, apa yang kita terlepas pandang adalah – bagaimana kelak jika Allah mentakdirkan kita panjang umur sehingga ditimpa sakit tua seperti nyanyuk, tidak dapat menunaikan kewajipan ibadah dengan sempurna dan akhirnya menyusahkan orang-orang di sekeliling.

Adakah yang kita pohon adalah kuantiti umur atau kualiti umur sebenarnya?

Apalah maknanya jika usia panjang namun kita tetap tidak tahu menghargainya dan memanfaatkan masa yang diberikan.

Walaupun begitu, ini bukanlah bermakna kita boleh meminta mati begitu sahaja. Bahkan, doa supaya meminta mati dek kerana susahnya hidup seperti kemiskinan, atau ditimpa sakit jelas sekali dilarang dalam Islam.

Rasulullah SAW bahkan pernah melarang seseorang daripada berharap untuk mati disebabkan musibah yang menimpanya. Kata baginda, jika kita tetap ingin berharap begitu, maka hendaklah dia mengatakan,

“Ya Allah, hidupkanlah aku jika kehidupan itu baik untukku. Dan matikanlah aku jika kematian itu baik bagiku.”(HR. Bukhari no. 6351, 5671 dan Muslim no. 2680)

Doa meminta kematian dilarang kerana seolah-olah menunjukkan seseorang itu telah putus asa untuk hidup, telah hilang harapan daripada rahmat Allah dalam masa yang sama tidak reda dengan takdir dan ujian yang menimpa.

Maka doa yang sepatutnya dipohon bukan semata-mata doa dipanjangkan umur sahaja, namun doa secara lebih khusus dan bermakna – “Hidupkanlah aku jika kehidupan itu baik untukku. Dan matikanlah aku jika kematian itu baik bagiku.”

Rasulullah SAW juga pernah membaca doa yang terkandung perlindungan daripada fitnah dunia serta penyakit nyanyuk yang biasanya menimpa orang-orang yang sudah lanjut usia. Hal ini kerana ia dapat menghalang seseorang daripada melakukan ibadah dengan sebaik-baiknya.

Manakala jika kita mempunyai ibu bapa yang sedang melalui usia tua mereka dalam keadaan sakit atau tidak lagi berkuasa melakukan banyak perkara, banyakkanlah bersabar kerana hal tersebut bukan hanya ujian buat mereka malah buat kita sebagai anak. Tanggungjawab tetap harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin kerana itulah penghormatan buat mereka di penghujung usia.

Berdoalah kepada Allah agar diberikan takdir hidup yang baik hingga akhir hayat. Pintalah umur yang berkualiti dan berkat – singkat atau panjangnya memberikan manfaat buat semua.




No comments:

Powered by Blogger.