Ads Top

Status Hadis – Wabak Boleh Dihindari Dengan Berwuduk

Teringat saya ketika berlakunya tsunami di Acheh, Indonesia pada tahun 2004, ramai yang menjadi mangsa dan kehilangan orang yang tersayang. Tidak kiralah yang terkorban itu merupakan Islam, mahupun agama lain.

Walhal, ramai yang mengeluarkan teori masing-masing dengan berpendapat bahawa ia adalah balasan dan peringatan daripada Allah kepada golongan yang ingkar dan sering melakukan maksiat dengan menghadiri pesta dan hiburan semata-mata.

Namun, banjir besar yang melanda itu telah membadai banyak nyawa yang ada di situ tanpa memilih dari golongan mana mereka berada, dari bangsa dan agama mana yang mereka dilahirkan.

Inilah peringatan yang Allah tunjukkan kepada hambaNya bahawa Dia akan menghantarkan azab kepada mereka yang ingkar dan ujian yang didalamnya terkandung rahmat buat mereka yang beriman.

Maksud: “Apabila Allah mengkehendaki azab berlaku kepada sesuatu kaum, Allah akan menimpakan azab kepada semua yang berada dalam kalangan mereka. Kemudian, mereka akan dibangkitkan dengan amalan-amalan mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2879)

Hari ini kita melihat di hadapan mata kita sendiri kejadian ngeri yang melanda dek virus COVID-19 yang telah meragut sehingga beribu nyawa sama ada disebabkan oleh kesalahan mereka sendiri atau nyawa yang tidak bersalah.

Di negara kita sendiri, kes semakin hari semakin meningkat dan menyerang bukan sahaja golongan yang ingkar dan degil akan arahan negara, bahkan mereka yang dijangkiti tanpa sengaja.

Ia tidak mengira agama, bangsa mahupun peringkat umur. Inilah masanya untuk kita sedar bahawa wabak ini adalah ujian kepada kita semua.

Dalam pada itu, timbul juga pelbagai berita palsu yang disebarkan tanpa diperiksa dahulu kesahihannya. Air kelapa boleh merawat virus ini, lauk ikan singgang boleh membantu menghindari wabak ini dan yang paling menyedihkan apabila mereka menggunakan nama agama sendiri, iaitu air wuduk boleh menjadi pelindung.

Maksud: “Di akhir zaman nanti akan ada banyak wabak penyakit melanda manusia di dunia, hanya umatku yang terhindar kerana memelihara wuduknya.”

Berdasarkan pejelasan yang telah diberikan oleh Mufti Wilayah , tiada dalil yang sahih berkenaan perbuatan wuduk yang boleh menghindarkan seseorang daripada wabak.

Amalan untuk sentiasa memperbaharui wuduk itu adalah disunnahkan walaupun bukan untuk dibawa ke dalam solat kerana ia adalah amalan yang baik.

Namun, percaya akan hadis yang tidak sahih ini adalah satu perbuatan yang tidak dibenarkan kerana ia adalah salah.

Yang paling penting ialah, kita perlu sentiasa meletakkan ikhtiar dan usaha untuk menangani wabak ini dengan sentiasa mengamalkan kebersihan dan mencuci tangan. Alang-alang mencuci tangan bolehlah sekali berwuduk. Semoga ganjaran pahala itu sampai kepada anda.

Wallahu a’alam.




No comments:

Powered by Blogger.